Sabtu, 14 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Banjir Kilat - (Jabatan Kesihatan)

Jabatan Kesihatan Daerah Tawau dilaporkan akan membuat kunjungan ke Kg Pasir Putih Tawau pada 20/08/2010 ini. Tujuannya adalah untuk memberikan perhatian terhadap kesihatan penduduk kampung yang telah ditimpa banjir kilat besar pada 29/07/2010 yang lepas. Sejak kejadian banjir besar tersebut, ramai penduduk kampung mengalami gangguan kesihatan terutamanya golongan warga emas dan kanak-kanak. Apa tidaknya, keadaan banjir yang melanda dikatakan seperti tsunami yang tiba-tiba muncul dan mengganas tidak mengenal mangsa ke atas rumah-rumah mangsa.

Seperti yang dilaporkan oleh sesetangah berita online, ada rumah yang hanyut dan roboh dilanggar arus banjir yang deras. Air yang deras bercampur lumpur berwarna hitam telah masuk ke dalam rumah mangsa. Inilah punca penyakit yang mengakibatkan ramai penduduk terdedah dengan air kotor melalui kulit dan tidak dinafikan ada yang terminum semasa kejadian banjir berlaku.

Usaha jabatan tersebut amat dialu-alukan oleh penduduk kampung abgi meringankan beban mangsa dan diharapkan bantuan yang akan diberikan nanti adalah percuma. Harapan juga agar pihak tersebut memberikan bantuan secukupnya dan secara keseluruhan dan bukanlah hanya diberikan kepada sebahagian mangsa sahaja. Walaupun agak lewat jabatan ini bertindak, namun penduduk kampung tetap akan menghargainya dan akan memanfaatkan sepenuhnya nanti.
Selain pihak jabatan ini, diharap juga agar pihak jabatan lain terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau sama-sama turun padang melihat dan menghulurkan tangan serta bantuan kepada mangsa banjir di kampung ini. Penduduk kampung tidak terlalu mengharapkan bantuan yang tinggi, hanya untuk minta diberikan perhatian sewajar pun sudah cukup walaupun mereka layak menerima lebih daripada itu.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.