Khamis, 18 Jun 2015

Larian Ramadhan

Ramadhan Menjelma...


Syukur alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan masa bertemu bulan yang penuh barakah ini. Sekali terfikir, masa begitu cepat berlalu tanpa disedari dan begitulah bagi kebanyakan apa yang kita rasa. Hari demi hari, bulan berganti bulan maka bertemu lagi bulan ini. Masuknya 1 Ramadhan, ada yang berasa gembira, rasa bersyukur, rasa dirahmati dan ada juga berasa sedih. Sedih mungkin terpaksa mengharungi hari-hari berpuasa dengan berlapar dan dahaga lebih-lebih lagi mereka yang bekerja di bawah panas terik. Tapi perasaan sedih yang sebegini, hanya segelintir saja yang merasainya mungkin mereka yang masih mencari pengertian dan hakikat ibadah fardhu puasa bulan Ramadhan. Bagi mereka yang berasa syukur dan gembira, mereka ini adalah golongan yang begitu dekat dengan Rabb-nya. Mereka yang selalu berharap akan redha dan rahmat-Nya. Mereka yang memahami hakikat puasa Ramadhan. Mereka yang tahu akan fadhilat atau kelebihan-kelebihan yang terkandung dalam bulan barakah ini. Mereka yang tahu dan mahu menikmati kemenangan dipenghujungnya. Allahu Akbar...hebatkan. Bukan DIA nak buat saja-saja apa yang disebut berkenaan MASA, khususnya berkenaan masa dibulan Ramadhan..

Memang susah, sulit, melaparkan, mendahagakan, kekadang menyakitkan berada dalam hari-hari di bulan Ramadhan. Siapa kata ianya mudah? Siapa kata ianya senang? Bagi diri mereka yang merasakan normal dari segi mental dan fizikal mereka akan menghadapi semua ini. Sesungguhnya semua bentuk ujian itu tiada yang enak. Semua golongan dan lapisan masyarakat akan merasakan dan menghadapinya, kerana Allah itu Maha Adil dalam mengatur semua urusan makhluk dan ciptaanNya.

Namun dalam kesusahan dan kesulitan ini semua, Allah sedang menyiapkan satu ganjaran yang sangat besar kerana urusan puasa ini urusan langsung, direct antara Dia dan hambaNya. InshaaAllah akan dikongsikan sebuah hadith berkenaannya. Semoga kita sentiasa tabah dan ada rasa sifat syukur berbanding ada lagi mereka yang lebih dhaif dalam menghadapi bulan ini. Sesungguhnya, tiadalah Dia menciptakan bulan ini untuk menyeksa dan menguji hambaNya melebihi dari kemampuan dan kudrat hamba itu. Tidak sama sekali. Dan semoga tiada terlintas dalam hati prasangka sedemikian. Sebaliknya Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun hendak memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk melaraskan semula (re-alignment) urusan kehidupan dan keyakinan mereka kepada Rabb-nya. 

Kita diuji dengan bermacam-macam ujian. Ada yang diuji bekerja dibawah panas terik. Ada yang diuji bekerja dikalangan mereka yang bukan muhrim yang mendedah aurat lagi menjolok mata. Ada yang diuji dengan wang dan harta syarikat. Ada yang diuji melakukan kerja surirumah yang berlambak-lambak disamping mengurus anak-anak serta menyusui anak. Ada satu ketika, sang ibu yang dalam keadaan uzur, maka bertambahlah lagi ujiannya. Ada yang diuji dengan dengan bekerja di premis makanan seperti perhotelan. Ada yang diuji bekerja di kawasan industri yang lebih berisiko dan bermacam-macam lagi. Semua golongan ini didalam keadaan yang sama iaitu berlapar dan dahaga. Menahan nafsu mata, hati dan syahwat. Menahan nafsu ammarah dan perasaan yang selalu ingin nak marah. Dan sesungguhnya tahap lapar, dahaga, menahan segala nafsu ini tidak sama tahapnya pada bulan-bulan lain. Tahapnya berada ditahap yang paling maksimum. Ia serupa pada mana-mana keadaan ujian, ia akan ada tahap kemuncak atau tahap paling maksimum. Dimana, selepas tahap tersebut, maka akan ada kejayaan dan kemenangan untuk dirai hanya bagi mereka berjaya menempuhi dengan sabar segala ujian.

Begitulah juga apa yang Dia hendakkan terhadap hambaNya. Alah swt telah menyediakan gerbang kemenangan dipenghujungnya bulan Ramadhan ini, bagi mereka yang sampai ke situ nanti. Maka itu, kepada semua peserta Ramadhan kali ini kita sama-sama mulakan rentak dengan banyak bersabar, tabah, bersangka baik, bersederhana dan redha dengan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya. Sama-sama banyak lakukan ibadat sunat, zikir dan doa untuk seluruh umat. Semoga 'larian Ramadhan' kali ini dapat di habiskan sehingga ke penghujungnya.

Semoga kita diberi kekuatan, inshaaAllah.

Selamat bersahur.



Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.