Sabtu, 14 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Banjir Kilat - 2

Setelah hampir dua minggu lebih, barulah kelihatan kelibat Datuk YB berkunjung ke Kg Pasir Putih yang dilanda banjir kilat pada 29/07/2010. Dilaporkan, antara yang datang berkunjung ialah Ahli Parlimen Kalabakan YB Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Bin Hj Salleh, Adun Tanjung batu, YB Hamisa Binti Samat dan Adun Merotai YB Pang Yuk Ming yang mana Kg Pasir Putih termasuk dalam kawasannya (DUN Merotai), bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Putih, En Jailani serta ahli jawantankuasa kampung yang lain.
Datuk Abdul Ghapur Hj Salleh meninjau kesan banjir.
Antara rumah yang ranap dilanda banjir.
Mangsa banjir yang sedang menyelamatkan diri.
Antara kereta yang ditenggelami banjir.
Mangsa banjir menunggu bantuan kebajikan.

Ketibaan mereka bertujuan untuk memberi bantuan wang tunai sebanyak RM200 seorang kepada penduduk kampung yang terlibat banjir dan telah mendaftar dengan JKKK. Disamping itu juga, dilaporkan papan lapis juga akan disumbangkan kepada mereka yang terlibat dengan bencana banjir. Menurut penduduk yang hadir, hanya 400 orang sahaja yang layak menerima bantuan kerana nama mereka ada didalam rekod pendaftaran mangsa banjir. Malangnya, sebahagian penduduk kampung yang terlibat dengan banjir yang mana rumah mereka hampir tenggelam dan kesemua isirumah ditenggelami air dan sudah rosak tidak mendapat bantuan tersebut. Alasan yang diberikan oleh JKKK, nama mereka tidak ada didalam rekod pendaftaran mangsa banjir.

Sepatutnya pihak JKKK dan ahlinya pergi di setiap rumah yang dilanda banjir dan bukannya mengharap penduduk datang kepada mereka untuk mendaftar nama mereka sebaik sahaja air banjir surut. Pihak JKKK hanya membuka pendaftaran mangsa di Masjid Kg Pasir Putih yang mana jarak diantara kawasan kampung yang dilanda banjir dengan masjid lebig kurang 500-700 meter jauhnya. Dalam keadaan yang serba susah dan trauma selepas kejadian banjir itu, sudah tentu mangsa keletihan dan ada yang cedera. Ada juga yang dilaporkan hampir lemas namun dapat diselamat oleh saudara mereka yang masih terselamat. Ini baru sebahagian laporan yang diketahui belum lagi laporan dari mereka yang lain. Jadi, pihak JKKK harus peka dan bertindak betul dalam menentukan mangsa banjir yang layak menerima bantuan bukan hanya berpandukan senarai nama diatas kertas semata-mata. Pihak JKKK dan ahlinya harus turun padang mengaudit rumah-rumah yang sepatutnya mendapat bantuan segera, dan inilah cara yang sebenarnya. Ada laporan dari penduduk kampung, penduduk yang bukan asal disitu atau pendatang yang memegang dokumen passport pun mendapat bantuan, tetapi penduduk yang menetap sejak kampung ini dibuka dan warganegara tidak mendapat bantuan. Ini sesuatu yang tidak dapat diterima. Sekali lagi, pihak JKKK tidak wajar berpandukan senarai nama yang didaftar semata-mata, tapi pihak JKKK harus turun padang melihat siapakah yang layak mendapat bantuan!

Apakah pihak JKKK tidak mempunyai rekod dan senarai rumah kampung sendiri, yang menyebabkan mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukan perkara yang sebenar? Sejak kampong ini dibuka kira-kira pada awal 80-an dulu, boleh dikatakan ketua kampong yang awal sahaja yang mengambil berat pasal kampung ini dan mengetahui hal-ehwal anak-anak buahnya tidak seperti akhir-akhir ini. Sesetengah penduduk kampung tidak mengetahui ketua atau JKKK kampung mereka, ini amat menyedihkan. Sebagai orang nombor satu di sesebuah kampung, ketua atau JKKK harus “turun padang” menjenguk orang kampung agar dapat mengurus-tadbir kampung dengan baik. Tapi inilah akibatnya jika sebaliknya. Pihak JKKK sepatutnya membentuk suatu Jawatankuasa Bantuan Bencana dan Pertolongan Cemas memandang kampung ini sering diancam bencana banjir ini. Adakah pihak JKKK terfikir akan hal ini?

Sekali lagi, dipihak penduduk kampung dan rakyat melihat pentadbiran kampung oleh kerajaan yang memerintah tidak tersusun dan hanya pada nama, tiada tindakan yang mana penduduk kampung mendapat manfaat sepenuhnya. Seperti yang diketahui, negeri ini diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional dan dalam kawasan DUN Barisan Nasional.

Apapun, kita mengucapkan terima kasih kepada YB-YB yang akhirnya memberikan masa menghulurkan bantuan kepada rakyat walaupun agak terlewat lebih-lebih lagi dalam umat Islam bersiap sedia menyambut bulan puasa Ramadhan Al-Mubarak. Sebaik-baik bantuan ketika penduduk ditimpa malapetaka dan mempercepatkan bantuan secepat mungkin kepada golongan sasar.

Bagi pihak penduduk kampung ini juga, ucapan terima kasih kepada Persatuan Bugis Tawau yang datang menghulurkan bantuanberas dan gula awal sebaik selepas banjir melanda. Begitu juga kelihatan pasukan tentera darat datang membantu dalam membersihkan kawasan dan sebagainya. Semoga sumbangan dan usaha murni persatuan, pasukan mahupun orang perseorangan akan mendapat pahala dan ganjaran sebaiknya daripada Allah swt.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.