Selasa, 17 Ogos 2010

Minta jambatan, padang golf pula yang dapat..

Gambar: Petikan dari sebuah akhbar tempatan.

Mungkin inilah sebenarnya slogan 1Malaysia bermadah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan kenaikan harga minyak petrol dan gula, kini muncul pula rancangan kerajaan hendak membina padang golf 1Malaysia di Wilayah Persekutuan Labuan yang dikatakan kos berjumlah RM37 juta. Wahh! Apa sudah jadi dengan kerajaan yang memerintah negara ini.

Gambar hiasan.

Sebelum ini, mereka mengatakan penarikan subsidi bagi mengelakkan Negara daripada bankrap pada 2019 seperti yang diramalkan oleh pakar ekonomi Malaysia. Tetapi tiba-tiba hendak membina padang golf mewah, untuk siapakah padang golf 18 lubang ini? Adakah rakyat marhaen yang akan memanfaatkannya?

Apabila rakyat memohon dibina jambatan penghubung diantara pulau Labuan dan Tanah Besar Sabah, mereka mengeluarkan ungkapan ‘jangan harap bulan jatuh ke riba’ ini suatu penghinaan terhadap penduduk di pulau itu. Bermaksud, janganlah diharap jambatan tersebut akan dibina. Siapakah yang meminta jambatan itu dibina, tidak lain dan tidak bukan siapa lagi…itulaah mereka yang begitu setia menyokong parti keramat Umno dan Barisan Nasional.

Jadi, bagi penulis dan semua warga pulau bebas cukai W.P. Labuan sama-samalah kita bermuhasabah diri, apakah yang telah kita perbuat terhadap tanah tumpah darah sendiri. Berdekad-dekad lama kesetian ditabur, ini pula balasan “mereka”… Apalagi hendak direnung, apalagi hendak ditilik, apalagi hendak hitung, apalagi hendak ditunggu wahai warga pulau.

Hanya satu sahaja harapan, keluar dari kepompong yang sempit dan gelap itu, lihat dunia sekeliling dan buat perubahan agar dirimu terbela dan dibela. Jika tidak, usahlah kecewa dan terus melata, kerana itu semua hanya sandiwaramu semata.

“Minta jambatan, padang golf pula yang dapat”…alahai.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.