Selasa, 31 Ogos 2010

Banjir: Tindakan susulan

Hari ini berencana hendak bertemu dengan wakil penduduk Kg Pasir Putih Tawau berkenaan dengan tindakan masalah banjir kilat yang melanda Kg Pasir Putih Tawau baru-baru ini. Ini adalah tindakan susulan selepas mengumpul nama dan tandatangan penduduk kampung bagi menyokong bantahan pembinaan sungai atau lencongan air dari Sungai Tawau yang tidak terancang dan mengancam nyawa penduduk.

Semoga usaha yang kecil ini dapat diberkati dan diberi kekuatan oleh-Nya.

Isnin, 30 Ogos 2010

Jutaan terima kasih buat Pasti Tawau

Sebagai mewakili penduduk Kg Pasir Putih Tawau yang dilanda banjir ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas keperihatinan dan pemberian sumbangan barangan makan asas oleh pihak PASTI Tawau baru-baru ini. Penduduk kampung amat menghargai perihatin dan sumbangan yang tuan-puan berikan. Semoga Allah SWT dapat mengganjari pahala tuan-puan di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Pasti Memimpin Perubahan! Di Bumi Allah Ini! Agar Bumi Gemilang!

Amin Ya Allah.

Takbir...Allahu Akbar!

Ahad, 29 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Tawau dilanda banjir lagi...

Kg Pasir Putih dilanda banjir lagi...kejadian banjir sudah tiga kali berlaku dalam masa sebulan sejak banjir besar pada 29 Julai 2010 yang menenggelamkan hampir 80 peratus rumah dan ada juga yang musnah di tolak arus deras yang berlumpur. Sesungguhnya waktu itu tiada siapa menduga banjir yang besar dan air naik sangat cepat sehingga ramai yang terperangkap, hanya dapat naik ke atas bumbung rumah menunggu bantuan penyelamat.


Ini adalah sungai lencongan yang berada di Jalan Sin San. Kelihatan dalam gambar adalah jambatan dengan tebing semakin terhakis dengan arus air yang sangat deras. Gambar ini diambil dalam pukul 6.20 pagi hari sabtu 28 Ogos 2010 dalam keadaan hujan gerimis.

 

Gambar di atas adalah jambatan kecil yang berada di Jalan Sin San yang ditenggelami air banjir dan disaksikan oleh polis yang membuat rondaan. Kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi sabtu 28 Ogos 2010. Banyak kenderaan tersangkut dari kedua-dua belah bahagian dari dan yang hendak ke Kg Pasir Putih disebabkan jalan terputus hunbungan. Jalan hanya dapat dilalui selepas 4 jam apabila air semakin surut dan hujan berhenti. 


Gambar di atas kawasan perkampungan Blok A jalan yang sedang dinaiki banjir yang agak cepat. Kelihatan penduduk kampung terutamanya yang tinggal di bahagian belakang terdedah dengan bahaya banjir meninggalkan rumah mereka ke tempat yang tinggi dan selamat.



Lot 127 - Blok A, rumah bapakku yang sedang dinaiki banjir untuk kali yang ke-3 dalam masa sebulan. Tapi kali ini air banjir tidak sampai ke lantai rumah, tidak seperti banjir kilat sebelum ini pada 29 Julai 2010 paras air hampir menenggelamkan tingkap rumah.


Gambar atas: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI Nurul Huda) Kg Pasir Putih ditenggelami banjir.
 

Walaupun dalam keadaan dilanda banjir yang sedemikian, semangat kemerdekaan tetap berkobar-kobar dengan menaikkan bendera Malaysia dan demi menyahut gagasan PM 1Malaysia Menjana Transformasi...tapi adakah itu semuanya benar? Dimana YB Adun atau MP pada waktu ini?


Sampah sarap yang bertan-tan banyaknya hanyut dibawa banjir sekaligus menyekat pengaliran air ke laut.


Gambar atas: Tabika Kemas Kg Pasir Putih yang hampir ditenggelami banjir.


Salah sebuah rumah yang berhampiran sungai roboh dan tenggelam dilanda arus deras dan tebing sungai yang runtuh. Rumah atau pondok ni berada di belakang kedai makcik Jannah di Blok B.

                                     

Sesungguhnya apa yang berlaku adalah kehendak dan perintah-Nya, bagi mereka yang ditimpa musibah banjir ini seharusnya bersikap tabah dan redha diatas qada' dan qadar ini. Tiadalah Dia menurunkan semua ini melainkan mahu memberi peringatan kepada hamba-Nya yang lalai dan itu semua adalah tanda yang Dia mengasihani hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama ujian ini diturunkan dalam umat Islam hendak melaksanakan ibadah fardhu puasa dan berlaku lagi ditengah bulan puasa sesungguhnya amat teruji bagi mereka yang taat perintah-Nya. Apapun, tidaklah jua semua ini ditimpakan melainkan Allah swt menyediakan hikmah disebaliknya yang tiada siapa pun tahu melainkan Dia Yang Maha Mengetahui dan Maha Perkasa.

Astaghfirullah...astaghfirullah...astaghfirullah al-adzim Ya Allah.


Selasa, 24 Ogos 2010

PRU13 - Politik Sabah

Senario politik negeri Sabah dijangka akan berubah dalam menuju ke PRU13 dalam satu dua tahun lagi. Bahangnya sememangnya semakin dirasai dengan tindakan aggresif oleh parti pembangkang dalam memastikan Sabah jatuh ke tangan mereka. Mungkin ini sesuatu yang harus dilakukan oleh orang Sabah memandangkan pembangunan negeri yang dilihat tidak seimbang.


Namun begitu, pihak pembangkang akan melalui laluan sukar dan getir dalam merampas tampuk pemerintahan negeri daripada kerajaan yang kini memerintah. Harapan yang ada hanya dengan menyedarkan rakyat dan mengubah mentaliti anak muda Sabah terutamanya golongan professional. Kenapa golongan professional? Berdasarkan perkembangan terkini, golongan ini selain dapat meningkatkan majoriti ahli atau pengundi, mereka juga berkemampuan dalam membantu parti dalam menyebarkan mentaliti orang muda secara aktif jika dibandingkan dengan golongan yang agak berumur.

Laluan juga agak sukar dengan provokasi-provokasi yang akan dihadapi oleh parti pembangkang. Disebabkan populariti parti pembangkang agak menonjol dan agak aktif sekarang ini, pihak kerajaan akan cuba menghalang usaha pembangkang dalam terus menawan hati dan memberi sessi penerangan di seluruh negeri.

Bagi golongan belia yang belum lagi mendaftar dengan SPR sebagai pengundi berdaftar, maka silalah berbuat demikian bagi menunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan berperlembagaan. Selepas itu wahai anak muda, buat pilihan yang tepat dan bertanggungjawab untuk tanahair dan bangsamu.

Janakuasa elektrik gas asli...bilalah agaknya?

Mungkin beginilah agaknya loji janakuasa elektrik gas asli jika kerajaan nak tolong orang-orang di pantai timur Sabah yang dahagakan keperluan dan bekalan asas yang sempurna...



Gambar hiasan: Loji janakuasa elektrik.

Kalaulah kerajaan ni betul-betul ikhlas kepada rakyat Sabah, kenapa mereka tidak membina janakuasa besar bersumber tenaga gas asli yang boleh didapati di negeri ini? Lihatlah berapa besar jurang pembangunan diantara Sabah dan Semenanjung atau negeri lain. Tiada negeri lain yang sering tercorot dalam kategori negeri termiskin melainkan Sabah. Buat rakyat Sabah, fikir dan bertindaklah selagi termampu demi masa depan generasimu...

Isnin, 23 Ogos 2010

Nusantara tegang lagi...

Perkara yang sepatunya tidak berlaku kini berlaku lagi, dimana kedua-dua negara nusantara rumpun melayu yang menyambut hari ulang tahun kemerdekaan pada bulan Ogos setiap tahun berdepan dengan kontroversi yang agak tegang.


Gambar diambil dari akhbar tempatan.


Ketegangan yang memang dipendam oleh sesetangah kelompok di negara jiran itu, muncul sekali lagi dengan mambakar dan memijak bendera Malaysia. Begitu juga dengan bangunan Kedutaan Malaysia di Indonesia turut dibaling dengan najis bagi memprotes dan membantah dengan tindakan yang diambil Malaysia berkaitan perairan kedua-dua negara baru-baru ini.

Semoga, sempena bulan baik dan berkat Ramadhan ini, umat Islam khususnya kedua-dua negara ini dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik. Janganlah kerana isu yang sebegini sesetengah pihak sanggup membiarkan kaum zionis dan sewaktu dengannya mentertawakan kita sambil bertepuk tangan. Yang mana kita yang sama rumpun dan kepercayaan sama-sama berpimpin tangan menegakkan umat ini.

Selamat untuk Malaysia & Indonesia. Selamat menyambut hari kemerdekaan bagi kedua-duanya.

Ahad, 22 Ogos 2010

Tawau Times Square...?

Terpampang di waterfront Sabindo Tawau sejak sekian lama. Tertulis "Tawau Times Square" hendak dibina... betulkah? Rasanya sudah lama papan tanda ni dipasang. Mungkin hanya gempak je... nampak memang grand tapi...

Mengikut sumber yang diketahui, projek ni memang benar akan dibina bermula dalam tahun hadapan 2011. Hua Li Development Sdn Bhd adalah pemaju projek dan juga Main Contractor yang bercadang membina bangunan kompleks hotel dan komersial 39 tingkat di persisiran laut Sabindo Tawau. Projek ini juga telah diluluskan oleh Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber: eTawau.com

Sabtu, 21 Ogos 2010

Buat isteriku...



Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa, dia mengingatkan



Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita, dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan



 ~ lirik lagu ini didedikasikan khusus buat isteriku yang tercinta ~
 

Jumaat, 20 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Tawau - tindakan susulan.

Susulan daripada isu banjir di Kg Pasir Putih Tawau pada 29 Julai 2010.

Sungai buatan di Sin San.

Terdapat beberapa pihak penduduk kampung sudah mula mempersoalkan sungai buatan yang dibuat bagi melencongkan air dari sungai Jambatan Putih ke kampung ini.

Walaupun beberapa usaha dipihak yang berkenaan seperti Ahli Parlimen Kalabakan membuat permohonan kepada pihak Persekutuan melalui Majlis Perbandaran Tawau untuk memindahkan kampung ini ke suatu tempat lain. Mungkin beberapa opsyen harus diketengahkan kepada pihak tersebut sebelum membuat keputusan yang akhirnya menyusahkah dan merugikan penduduk kampung ini.

Penduduk kampung harus menubuhkan satu suara bagi memastikan apa sahaja yang ingin diambil oleh mana pihak dalam menyelesaikan masalah ini.

Janjikan pendapatan RM4,000, apabila...

Cadangan DS Anwar Ibrahim agar setiap isi rumah menikmati pendapatan RM4,000 dalam tempoh lima tahun apabila pembangkang mengambil-alih pentadbiran kerajaan pusat ada suatu yang dilhat yang positif. Bagi rakyat yang kebanyakannya berada diparas pendapatan ‘cukup makan’ perkembangan ini sememangnya ditunggu-tunggu.

Walaupun kenyataan ini agak berunsur dan strategi politik bagi memastikan sokongan rakyat bertambah, namun tidak salah kalau kita benar-benar ingin berubah daripada berada dalam kepompong yang masih kabur hala tujunya malah membimbangkan. Apa tidaknya, sejak akhir-akhir ini beberapa syarikat GLC yang bertaraf ‘gergasi’ telah mengalami kerugian yang agak teruk. Ini menunjukkan KPI yang ingin dicapai akan tercorot.

Apapun, semua ini terpulang kepada rakyat seluruhnya sama ada sanggup dan berani berubah demi masa depan generasi akan datang. Bak kata pujangga, kita tidak akan sampai ke puncak melainkan kita mulakan dengan langkah pertama pendakian.

Rabu, 18 Ogos 2010

Highway Sabindo Tawau

Beberapa perkara harus diberikan perhatian dan pengawasan terhadap “esplanade highway sabindo” yang agak tidak selamat dan tempat maksiat. Menggelarkan esplanade kerana berada di tepi laut Bandar Sabindo Tawau yang menghadap ke Pulau Sebatik. Memang tempatnya agak strategik bagi kawasan beriadah terutamanya pada waktu petang senja. Antara yang terdapat disekelilingnya gerai-gerai makan Sabindo, bot-bot berlabuh dan sebagainya.




Walaupun begitu keindahannya, sejak beberapa tahun kebelakang ini tempat tersebut sudah di “naik tarafkan” oleh golongan-golongan yang agak kurang bertanggungjawab. Golongan-golongan yang dimaksudkan adalah mat-mat motor, mat rempit, kaki botol, bohsia dan macam-macam lagi. 

Apa yang sering dilhat adalah, mat-mat kereta dan motor yang suka-hati "parking" kenderaan mereka di atas jalan yang bukan tempat meletakkan kenderaan. Ini merbahaya kepada pengguna jalan raya dan juga mereka sendiri terutamanya pada waktu malam. Ditambah dengan lampu jalan yang kerap "blackout". Highway ni biasanya orang memandu laju sedikit berbanding dalam kawasan bandar dan jika pemandu tidak perasaan atau tidak biasa kemalangan mungkin boleh berlaku.

Begitu juga halnya dengan mat rempit yang kian menjadi-jadi, kaki botol dan mereka yang tanpa segan silu melakukan peluk asmara yang penuh dengan maksiat. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku jika pihak yang berwajib terutamanya jabatan agama dan pihak polis memberi pengawasan dan operasi yang kerap dikawasan ini. Pelaku maksiat pula, tidak cukupkah dengan peringatan demi peringatan yang Allah swt tunjukkan? Bala bencana, banjir tsunami, gempa bumi dan macam-macam lagi. Ini semua tanda-tanda amaran dari-Nya agar manusia ini berubah kepada yang baik dan insaf. Tahukah bahawa Malaikat Izrail membuat intaian sebanyak 70 kali sehari bagi mencabut nyawa manusia hanya tunggu arahan dari Tuhannya.

Semoga warga Tawau dapat memanfaatkan keindahan esplanade sabindo dan bertanggungjawablah sedikit demi kepentingan dan keselamatan orang lain.


Selasa, 17 Ogos 2010

Gas Sabah untuk siapa..?

Pada nukilan yang lalu, sedikit sebanyak telah membincangkan isu gas Sabah yang ingin disalurkan dari Kimanis, Sabah ke Bintulu, Sarawak. Hari ini 16/09/2010 dalam muka depan Utusan Borneo, isu ini sekali lagi diutarakan sekaligus teka-teki jadi atau tidak penyaluran gas Sabah ke negeri Sarawak.

Menurut sumber berita, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok menyatakan ia terpulang kepada negeri Sabah sama ada mahu ataupun tidak menyalurkan gasnya ke negeri Sarawak.

Sebagai rakyat negeri Sabah, sudah pasti ingin memanfaatkan khazanah gas mereka sendiri. Kenapa mesti opsyen menyalurkan ke Bintulu digunakan terlebih dahulu? Bukankah ini semacam menafikan hak-hak orang Sabah untuk menikmati hasil bumi dan tanah air mereka. Apa yang dilihat dengan hasil perbincangan demi perbincangan diperingkat kerajaan dan syarikat minyak negara Petronas, seakan-akan alasan demi alasan diberikan kepada rakyat Sabah. Dan sudah pasti ini amat merugikan negeri dan rakyat Sabah. Kenapa rakyat Sabah harus menanggung permainan politik sesetengah pihak dalam memberikan hak mutlak rakyat negeri ini.

Kenyataan yang mengatakan, “ada jaminan bahawa bekalan gas tidak disalurkan ke Bintulu di Sarawak menerusi saluran gas itu jika terdapat keperluan bekalan itu di Sabah”. Siapakah yang mengeluarkan kenyataan ini? Sememangnya Sabah amat memerlukan gas ini sebagai sumber tenaga kepada janakuasa elektrik terutamanya dan sebagai sumber pelaburan dalam memajukan negeri ini. Perkataan “jika” itu sebenarnya hanya suatu alasan dan tidak lebih kepada kepentingan politik sesetengah pihak.

Lihatlah sudah berapa dekad rakyat Sabah hidup dalam keadaan miskin dan bergelap pada malam hari terutamanya yang tinggal di luar bandar? Tidakkah mereka lihat betapa susahnya rakyat Sabah terutamanya anak-anak yang perlu ke sekolah dalam keadaan berkaki ayam oleh kerana jalan yang berlumpur tidak berturap dalam keadaan gelap tiada elektrik? Terlalu banyak jika hendak dihuraikan betapa perlunya gas, salah satu sumber kekayaan…

Kepada rakyat Sabah, bukanlah kita hendak menentang membuta tuli dengan apa yang pihak kerajaan dan pihak berkaitan rancangkan tetapi perlu kita Tanya diri masing-masing, adakah hak-hak kita sudah terbela?

http://www.theborneopost.com/?p=58714

Minta jambatan, padang golf pula yang dapat..

Gambar: Petikan dari sebuah akhbar tempatan.

Mungkin inilah sebenarnya slogan 1Malaysia bermadah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan kenaikan harga minyak petrol dan gula, kini muncul pula rancangan kerajaan hendak membina padang golf 1Malaysia di Wilayah Persekutuan Labuan yang dikatakan kos berjumlah RM37 juta. Wahh! Apa sudah jadi dengan kerajaan yang memerintah negara ini.

Gambar hiasan.

Sebelum ini, mereka mengatakan penarikan subsidi bagi mengelakkan Negara daripada bankrap pada 2019 seperti yang diramalkan oleh pakar ekonomi Malaysia. Tetapi tiba-tiba hendak membina padang golf mewah, untuk siapakah padang golf 18 lubang ini? Adakah rakyat marhaen yang akan memanfaatkannya?

Apabila rakyat memohon dibina jambatan penghubung diantara pulau Labuan dan Tanah Besar Sabah, mereka mengeluarkan ungkapan ‘jangan harap bulan jatuh ke riba’ ini suatu penghinaan terhadap penduduk di pulau itu. Bermaksud, janganlah diharap jambatan tersebut akan dibina. Siapakah yang meminta jambatan itu dibina, tidak lain dan tidak bukan siapa lagi…itulaah mereka yang begitu setia menyokong parti keramat Umno dan Barisan Nasional.

Jadi, bagi penulis dan semua warga pulau bebas cukai W.P. Labuan sama-samalah kita bermuhasabah diri, apakah yang telah kita perbuat terhadap tanah tumpah darah sendiri. Berdekad-dekad lama kesetian ditabur, ini pula balasan “mereka”… Apalagi hendak direnung, apalagi hendak ditilik, apalagi hendak hitung, apalagi hendak ditunggu wahai warga pulau.

Hanya satu sahaja harapan, keluar dari kepompong yang sempit dan gelap itu, lihat dunia sekeliling dan buat perubahan agar dirimu terbela dan dibela. Jika tidak, usahlah kecewa dan terus melata, kerana itu semua hanya sandiwaramu semata.

“Minta jambatan, padang golf pula yang dapat”…alahai.

Isnin, 16 Ogos 2010

Emas Dinar & Perak Dirham

Matawang Emas Dinar dan Perak Dirham yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kelantan Darul Naim baru-baru ini. Walaupun banyak kritikan yang diberikan daripada ramai pihak namun usaha untuk memperbetulkan sistem ekonomi dengan menghapuskan sistem kapitalis yang sedia pakai sekarang harus dipuji dan diberikan sokongan terutamanya oleh umata Islam.



 

Lihatlah keunikan matawang tersebut...aku pun mahu beli. Ini emas 917 22 karat kalau tak silap.

Can I borrow $5?

A woman came home from work late, tired and irritated, to find her 5-year old son waiting for her at the door.

SON: 'Mummy, may I ask you a question?'
MUM: 'Yeah sure, what it is?' replied the woman.
SON: 'Mummy, how much do you make an hour?'
MUM: 'That's none of your business. Why do you ask such a thing?' the woman said angrily.
SON: 'I just want to know. Please tell me, how much do you make an hour?'
MUM: 'If you must know, I make $20 an hour.'
SON: 'Oh,' the little boy replied, with his head down.
SON: "Mummy, may I please borrow $5?"


The mother was furious, 'If the only reason you asked that is so you can borrow some money to buy a silly toy or some other nonsense, then you march yourself straight to your room and go to bed. Think about why you are being so selfish. I don't work hard everyday for such childish frivolities.'

The little boy quietly went to his room and shut the door.
The woman sat down and started to get even angrier about the little boy's questions. How dare he ask such questions only to get some money?


After about an hour or so, the woman had calmed down, and started to think:
Maybe there was something he really needed to buy with that $5 and he really didn't ask for money very often.The woman went to the door of the little boy's room and opened the door.


'Are you asleep, son?' She asked.
'No Mummy, I'm awake,' replied the boy.


'I've been thinking, maybe I was too hard on you earlier' said the woman. 'It's been a long day and I took out my aggravation on you. Here's the $5 you asked for.'
The little boy sat straight up, smiling. 'Oh, thank you Mummy!' he yelled. Then, reaching under his pillow he pulled out some crumpled up bills.
The woman saw that the boy already had money, started to get angry again.
The little boy slowly counted out his money, and then looked up at his mother.
'Why do you want more money if you already have some?' the mother grumbled.
'Because I didn't have enough, but now I do,' the little boy replied.
'Mummy, I have $20 now. Can I buy an hour of your time? Please come home early tomorrow.
I would like to have dinner with you.'


The mother was crushed. She put her arms around her little son, and she begged for his forgiveness.

It's just a short reminder to all of you working so hard in life. We should not let time slip through our fingers without having spent some time with those who really matter to us, those close to our hearts. Do remember to share that $20 worth of your time with someone you love.

If we die tomorrow, the company that we are working for could easily replace us in a matter of hours. But the family & friends we leave behind will feel the loss for the rest of their lives
Please don't break this even if you only send it to one person.

Ahad, 15 Ogos 2010

Antara 31 Ogos & 16 September

Lebih kurang dua minggu lagi seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 iaitu pada 31 Ogos 2010. Tentunya dipihak kerajaan telah menyiapkan agenda dan aktiviti-aktiviti yang hendak diadakan pada hari tersebut. Seperti lazimnya sambutan akan diadakan diperingkat persekutuan dan juga di peringkat negeri seluruh Negara termasuklah Sabah dan Sarawak.
Gambar: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan 'MERDEKA'.

Kalau dilihat dari segi sejarah, tanggal 31 Ogos adalah hari kemerdekaan bagi Tanah Melayu dan bukannya bagi Sabah dan Sarawak. Ini kerana, Sabah dan Sarawak hanya membantu dalam pembentukan sebuah Negara yang sekarang ini dinamakan Malaysia dengan Tanah Melayu atau Malaya pada 16 September 1963 seperti yang termaktub dalam lipatan sejarah. Persoalannya apakah patut Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambut hari kebangsaan 31 Ogos dengan aktiviti serupa di Semenanjung Malaysia? Mungkin perkara ini perlu difikirkan dan diperjelaskan kepada rakyat seluruhnya untuk mengelakkan kekeliruan.

Gambar hiasan: Hari Malaysia 16 September 1963.

Bukanlah niat untuk membina suatu blok perbezaan diantara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak (Borneo), tetapi untuk mencari perkara sebenar agar rakyat dan generasi seterusnya melakukan perkara yang sebenar bukan hanya ikut membuta tuli dengan orang lain yang mungkin tiada kaitan dengannya. Seperti yang kita tahun sebelum, tanggal 16 September telah diumumkan oleh kerajaan sebagai cuti umum bagi Sabah dan Sarawak atas sebab pembentukan negara Malaysia dengan kemasukan dua wilayah tersebut. Lagi satu persoalan, apakah hari kemerdekaan bagi Sabah dan Sarawak iaitu pada 16 September sama dengan Hari Kebangsaan 31 Ogos? Dari segi tarikhnya, sudah tentu berbeza dan ini mengelirukan rakyat khususnya Sabah dan Sarawak. Itu pun selepas parti pembangkang banyak mempersoalkan perkara ini barulah pihak kerajaan member perhatian tarikh 16 September ini sekaligus mengistiharkan ia sebagai cuti umum bagi memperingai dan meraikannya. Tanpa prejudis, seolah-olah semacam ada yang tidak betul.

Perlu juga diketahui, bilakah sebenarnya bendera Malaysia Jalur Gemilang dicipta dan secara rasmi dikibarkan sebagai bendera negara Malaysia? Adakah ketika hari kemerdekaan 31 Ogos 1957, pada 16 September 1963 atau bila? Mungkin ahli dan pakar sejarah atau sesiapa sahaja boleh menyatakan perkara ini.

Semoga Hari Kebangsaan yang disambut setiap tahun member erti sebenar kemerdekaan bagi seluruh rakyat Malaysia bukan hanya oleh sesetengah pihak.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ulang Tahun yang ke-53 pada 31 Ogos 2010.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Banjir Kilat - 4 (JKM "Penat")

Dalam kes bencana banjir yang melanda Kg Pasir Putih pada 29/07/2010 baru-baru ini, terdapat laporan yang keluar dari mulut Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semasa pemberian bantuan oleh Ahli Parlimen Kalabakan pada 14/08/2010, yang mana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak memberikan kerjasama yang baik kepada pihak kampung yang memerlukan bantuan dan kebajikan. Pihak JKKK dilaporkan mencadangkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau untuk bersama-sama turun ke rumah-rumah mangsa banjir bagi mengenal pasti penduduk yang layak mendapat bantuan. Tetapi malangnya, alasan yang diberikan oleh jabatan tersebut ialah “penat”. Mereka berasa usaha tersebut memenatkan jika hendak pergi ke setiap rumah yang dilanda banjir.

Ini suatu alasan dan ungkapan yang paling tidak boleh diterima. Apakah patut jabatan yang dipertanggungjawabkan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat mengeluarkan ungkapan sedemikian? Sebagai rakyat yang merdeka yang dilindungi oleh undang-undang dan perlembagaan, kami ingin bertanya kepada jabatan terbabit, apakah dasar jabatan ini ditubuhkan? Apakah yang kamu maksudkan dengan “penat” dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan gaji oleh kerajaan yang mana wang kerajaan itu hasil daripada rakyat jua. Kami adalah rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan setiap tahun. Apakah tujuan kutipan cukai tersbut dan dimanakah ia dibelanjakan?! Untuk siapa?

Mungkin jabatan tersebut harus memikirkan semula kenyataan yang dibuat, sebelum tindakan akan diambil oleh rakyat yang mahukan pembelaan dan keadilan. Jangan fikir kamu dibawah jabatan kerajaan kamu boleh berdolak-dalih dengan alasan yang sangat tidak munasabah. Alasan penat yang diungkapkan memang tidak boleh diterima. Memanglah jika kamu yang melakukan berseorangan, kamu akan berasa penat. Tapi gunakanlah akal fikiran yang Tuhan anugerahkan bagaimana hendak menyelesaikan sesuatu masalah bukannya secara mudah mengatakan ia suatu yang memenatkan.

Rasanya, isu ini tidak akan berhenti disini, sebagai rakyat isu ini akan diketengahkan bagi membuka semua mata rakyat Malaysia dan pemimpin negara yang begitu lantang dalam mengungkapkan slogan “rakyat didhulukan, pencapaian diutamakn”. Sebagai wakil mangsa banjir kampung ini, tindakan sewajarnya akan disusuli keatas kenyataan “penat” ini oleh jabatan kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Kg Pasir Putih Banjir Kilat - 2

Setelah hampir dua minggu lebih, barulah kelihatan kelibat Datuk YB berkunjung ke Kg Pasir Putih yang dilanda banjir kilat pada 29/07/2010. Dilaporkan, antara yang datang berkunjung ialah Ahli Parlimen Kalabakan YB Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Bin Hj Salleh, Adun Tanjung batu, YB Hamisa Binti Samat dan Adun Merotai YB Pang Yuk Ming yang mana Kg Pasir Putih termasuk dalam kawasannya (DUN Merotai), bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Putih, En Jailani serta ahli jawantankuasa kampung yang lain.
Datuk Abdul Ghapur Hj Salleh meninjau kesan banjir.
Antara rumah yang ranap dilanda banjir.
Mangsa banjir yang sedang menyelamatkan diri.
Antara kereta yang ditenggelami banjir.
Mangsa banjir menunggu bantuan kebajikan.

Ketibaan mereka bertujuan untuk memberi bantuan wang tunai sebanyak RM200 seorang kepada penduduk kampung yang terlibat banjir dan telah mendaftar dengan JKKK. Disamping itu juga, dilaporkan papan lapis juga akan disumbangkan kepada mereka yang terlibat dengan bencana banjir. Menurut penduduk yang hadir, hanya 400 orang sahaja yang layak menerima bantuan kerana nama mereka ada didalam rekod pendaftaran mangsa banjir. Malangnya, sebahagian penduduk kampung yang terlibat dengan banjir yang mana rumah mereka hampir tenggelam dan kesemua isirumah ditenggelami air dan sudah rosak tidak mendapat bantuan tersebut. Alasan yang diberikan oleh JKKK, nama mereka tidak ada didalam rekod pendaftaran mangsa banjir.

Sepatutnya pihak JKKK dan ahlinya pergi di setiap rumah yang dilanda banjir dan bukannya mengharap penduduk datang kepada mereka untuk mendaftar nama mereka sebaik sahaja air banjir surut. Pihak JKKK hanya membuka pendaftaran mangsa di Masjid Kg Pasir Putih yang mana jarak diantara kawasan kampung yang dilanda banjir dengan masjid lebig kurang 500-700 meter jauhnya. Dalam keadaan yang serba susah dan trauma selepas kejadian banjir itu, sudah tentu mangsa keletihan dan ada yang cedera. Ada juga yang dilaporkan hampir lemas namun dapat diselamat oleh saudara mereka yang masih terselamat. Ini baru sebahagian laporan yang diketahui belum lagi laporan dari mereka yang lain. Jadi, pihak JKKK harus peka dan bertindak betul dalam menentukan mangsa banjir yang layak menerima bantuan bukan hanya berpandukan senarai nama diatas kertas semata-mata. Pihak JKKK dan ahlinya harus turun padang mengaudit rumah-rumah yang sepatutnya mendapat bantuan segera, dan inilah cara yang sebenarnya. Ada laporan dari penduduk kampung, penduduk yang bukan asal disitu atau pendatang yang memegang dokumen passport pun mendapat bantuan, tetapi penduduk yang menetap sejak kampung ini dibuka dan warganegara tidak mendapat bantuan. Ini sesuatu yang tidak dapat diterima. Sekali lagi, pihak JKKK tidak wajar berpandukan senarai nama yang didaftar semata-mata, tapi pihak JKKK harus turun padang melihat siapakah yang layak mendapat bantuan!

Apakah pihak JKKK tidak mempunyai rekod dan senarai rumah kampung sendiri, yang menyebabkan mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukan perkara yang sebenar? Sejak kampong ini dibuka kira-kira pada awal 80-an dulu, boleh dikatakan ketua kampong yang awal sahaja yang mengambil berat pasal kampung ini dan mengetahui hal-ehwal anak-anak buahnya tidak seperti akhir-akhir ini. Sesetengah penduduk kampung tidak mengetahui ketua atau JKKK kampung mereka, ini amat menyedihkan. Sebagai orang nombor satu di sesebuah kampung, ketua atau JKKK harus “turun padang” menjenguk orang kampung agar dapat mengurus-tadbir kampung dengan baik. Tapi inilah akibatnya jika sebaliknya. Pihak JKKK sepatutnya membentuk suatu Jawatankuasa Bantuan Bencana dan Pertolongan Cemas memandang kampung ini sering diancam bencana banjir ini. Adakah pihak JKKK terfikir akan hal ini?

Sekali lagi, dipihak penduduk kampung dan rakyat melihat pentadbiran kampung oleh kerajaan yang memerintah tidak tersusun dan hanya pada nama, tiada tindakan yang mana penduduk kampung mendapat manfaat sepenuhnya. Seperti yang diketahui, negeri ini diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional dan dalam kawasan DUN Barisan Nasional.

Apapun, kita mengucapkan terima kasih kepada YB-YB yang akhirnya memberikan masa menghulurkan bantuan kepada rakyat walaupun agak terlewat lebih-lebih lagi dalam umat Islam bersiap sedia menyambut bulan puasa Ramadhan Al-Mubarak. Sebaik-baik bantuan ketika penduduk ditimpa malapetaka dan mempercepatkan bantuan secepat mungkin kepada golongan sasar.

Bagi pihak penduduk kampung ini juga, ucapan terima kasih kepada Persatuan Bugis Tawau yang datang menghulurkan bantuanberas dan gula awal sebaik selepas banjir melanda. Begitu juga kelihatan pasukan tentera darat datang membantu dalam membersihkan kawasan dan sebagainya. Semoga sumbangan dan usaha murni persatuan, pasukan mahupun orang perseorangan akan mendapat pahala dan ganjaran sebaiknya daripada Allah swt.

Kg Pasir Putih Banjir Kilat - (Jabatan Kesihatan)

Jabatan Kesihatan Daerah Tawau dilaporkan akan membuat kunjungan ke Kg Pasir Putih Tawau pada 20/08/2010 ini. Tujuannya adalah untuk memberikan perhatian terhadap kesihatan penduduk kampung yang telah ditimpa banjir kilat besar pada 29/07/2010 yang lepas. Sejak kejadian banjir besar tersebut, ramai penduduk kampung mengalami gangguan kesihatan terutamanya golongan warga emas dan kanak-kanak. Apa tidaknya, keadaan banjir yang melanda dikatakan seperti tsunami yang tiba-tiba muncul dan mengganas tidak mengenal mangsa ke atas rumah-rumah mangsa.

Seperti yang dilaporkan oleh sesetangah berita online, ada rumah yang hanyut dan roboh dilanggar arus banjir yang deras. Air yang deras bercampur lumpur berwarna hitam telah masuk ke dalam rumah mangsa. Inilah punca penyakit yang mengakibatkan ramai penduduk terdedah dengan air kotor melalui kulit dan tidak dinafikan ada yang terminum semasa kejadian banjir berlaku.

Usaha jabatan tersebut amat dialu-alukan oleh penduduk kampung abgi meringankan beban mangsa dan diharapkan bantuan yang akan diberikan nanti adalah percuma. Harapan juga agar pihak tersebut memberikan bantuan secukupnya dan secara keseluruhan dan bukanlah hanya diberikan kepada sebahagian mangsa sahaja. Walaupun agak lewat jabatan ini bertindak, namun penduduk kampung tetap akan menghargainya dan akan memanfaatkan sepenuhnya nanti.
Selain pihak jabatan ini, diharap juga agar pihak jabatan lain terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau sama-sama turun padang melihat dan menghulurkan tangan serta bantuan kepada mangsa banjir di kampung ini. Penduduk kampung tidak terlalu mengharapkan bantuan yang tinggi, hanya untuk minta diberikan perhatian sewajar pun sudah cukup walaupun mereka layak menerima lebih daripada itu.

Rabu, 11 Ogos 2010

Selamat Berpuasa Ramadhan Al-Mubarak 1431H




















Selamat Berpuasa Ramadhan Al-Mubarak bagi tahun 1431H. Mohon kemaafan segala salah dan silap, sengaja atau tidak disedari.

Ditujukan kepada ayahbonda yang dikasihi, isteri dan keluarga yang tercinta, saudara-mara jauh dan dekat, sahabat handai, guru-guru, muslimin dan muslimat serta semua umat Islam seluruh dunia yang menyambut bulan puasa.

Ahad, 1 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Banjir Kilat - 1

Pada 29/07/2010 - Lebih kurang pukul 8.15 malam (khamis malam jumaat) aku menerima panggilan telefon daripada adikku yang berada di Semenanjung. Pada waktu itu aku sedang menghadiri perjumpaan antara majikan dan pekerja di sebuah hotel di Bintulu Sarawak. Aku pun terus menyambut panggilan tersebut dan keluar dari bilik mesyuarat. Aku terus berbual dengan adikku dan memberitahu yang rumah ibubapaku sedang ditenggelami banjir kilat di Kg Pasir Putih Tawau Sabah. Aku mula tergamam dan seolah-olah tersalah dengar. Dengan suara serius dan panik adikku, aku terus ingin mengetahui apa sedang berlaku secara terperinci.


Setelah aku mengetahui hal yang sedang berlaku aku berasa panik seketika dan cuba menghubungi adikku yang berada sekali dengan ibubapaku di rumah yang dilanda banjir. Setelah beberapa kali mendail telefon mudah alihnya, akhirnya aku berjaya menelefonnya dan cuba mendapat maklumat sebenar yang berlaku ketika itu. Adikku memberitahu, rumah sudah dinaiki air dengan agak cepat bermula waktu maghrib kira-kira pukul 6.45 petang. Pada mulanya air masih dibawah kolong rumah dan menyangka keadaan banjir biasa yang sering berlaku. Tetapi, setelah beberapa ketika air semakin naik dengan cepat sehingga tiada apa yang dapat diselamat jauh sekali melarikan diri ke tempat tinggi yang selamat. Akhirnya mereka semua (ibuku, bapaku, adik perempuanku seorang, adik lelakiku seorang, makcikku dan pakcikku yang kurang sihat masing-masing seorang) terperangkap dalam banjir kilat.
Pada pukul lebih kurang 8.00 malam, air sudah sampai ke paras tingkap rumah dengan arus air yang sangat deras. Bagi menyelamatkan diri, mereka yang terperangkap segera mencari tempat tinggi di dalam rumah tersebut. Dengan perasaan panik dan sangat cemas, mereka semua berpaut atas pagar beranda rumah dalam keadaan kegelapan disebabkan bekalan elektrik terputus. Memang amat sukar digambarkan keadaan pada masa itu kecuali mereka yang mengalaminya. Ya Allah, sesungguhnya hamba mu berasa insaf sekiranya berada dalam keadaan waktu itu.


Semasa aku masih bercakap dalam telefon dengan adikku, terlintas difikiranku untuk meminta mereka cuba menebuk siling dan atap zink seterusnya naik ke atas bumbung rumah. Dengan serta merta adikku beritahu bapaku untuk berbuat demikian sebelum paras air semakin naik dan menenggelamkan mereka. Detik-detik yang amat mencemaskan! Sambil masih bercakap dengan adikku, aku terdengar suara ibuku yang seolah-olah sudah kehabisan suara meminta tolong orang disekeliling. Tapi apakan daya orang disekeliling pun dalam keadaan yang serupa dan panic masing-masing cuba menyelamatkan diri dan anak-beranak mereka. Sehingga kini, aku berasa amat sedih apabila teringat suara ibuku meminta tolong dalam keadaan cemas dan menakutkan itu dan masih terngiang-ngiang ditelinga ini. Siapa yang tidak sedih dan ngeri apabila menyedari ibu atau ahli keluarga diambang bahaya yang mengancam nyawa. Ya Alhamdulillah, Allah swt masih sayang mereka semua dengan memanjangkan umur mereka.
Dalam keadaan gelap dan sangat cemas, bapaku masih berusaha cuba memecahkan siling rumah dengan menggunakan kudrat tangan dan kaki sedaya upayanya. Akhirnya bapaku berjaya menebuk siling dan seterusnya menebuk atap zink. Jika dilihat, memang agak sukar untuk memecah siling dan menebuk zink tanpa peralatan. Namun dalam keadaan cemas, bapaku terpaksa juga berusaha walaupun tangan dan kaki menjadi luka. Masih dalam perbualan telefon adikku, aku dapat mendengar bapaku menendang atap zink untuk menebuknya. Ya Allah hanya Dia yang tahu betapa cemas dan sukarnya waktu itu.


Setelah itu, seorang demi seorang cuba sedaya upaya memanjat dinding dan tingkap luar beranda rumah untuk terus naik ke atas bumbung. Apa yang berlaku waktu, ia tidaklah semudah apa yang difikirkan. Dalam keadaan cemas dan gelap begitu, besi tajam, arus deras, keadaan gelap, sejuk, hujan, serpihan kaca tingkap yang pecah dan tajam sudah tidak dihirau walaupun terpaksa menahan sakit yang amat sangat terutamanya bapaku yang sudah berumur 60 tahun. Alhamdulillah, dengan usia begitu Dia masih memberikan kudrat yang bukan semua orang boleh lakukan. Sekali lagi bapaku sedaya upaya menaikkan seorang demi seorang panjat naik ke atas bumbung sehinggalah semuanya berjaya menyelamatkan diri dengan naik ke atas siling dan bumbung rumah. Yang paling sedih dan sukar ialah menaikkan pakcikku yang kurang sihat (semacam sakit stroke), tidak dapat memanjat kerana tiada kekuatan otot dan badan yang lemah. Dalam keadaan cemas dan kepenatan bapaku cuba juga menolak dan menarik pakcikku naik ke atas. Sebelum Berjaya naik ke atas, beberapa kali pakcikku ini terjatuh ke dalam air dan telah lemas seketika dalam keadaan yang gelap. Disangka, pakcikku sudah ‘tiada’ kerana sudah tidak kelihatan tubuhnya mungkin tenggelam ke dasar rumah. Dalam keadaan cemas dan gelap mujurlah handphone yang ada mempunyai ‘torchlight’ dan cuba mencari pakcikku yang sedang lemas. Mujurlah tangannya yang terkapai lemas dilihat dan serta merta bapaku menangkap tangannya terus tarik ke permukaan air. Dengan tenaga yang sudah tiada dan kepenatan, bapaku sedaya upaya menarik pakcikku bertahan di kawasan yang agak tinggi – frame tingkap buat seketika sementara menunggu air surut. Begitu juga adikku yang masih bersekolah menengah, cuba sedaya upaya membantu bapaku menolak dan menaikkan ibuku ke atas siling dan bumbung.


Aku yang masih tidak tentu arah, cuba menghubungi sesiapa sahaja yang difikirkan boleh membantu. Antara yang dihubungi kakakku yang berada di rumahnya Muhibbah Tawau, birasku(polis PGA) yang berada rumahnya di Batu 4 Apas. Dalam keadaan tidak menentu, aku berdoa dan bertawakkal kepada Allah dengan harapan air banjir tidak bertambah naik dan surut segera. Begitu juga adik-adikku yang berada jauh dari kampung, di semenanjung, Kinabatangan dan Kota Kinabalu semua berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar keluarga kami dan mereka yang sedang timpa bala Allah terselamat.


Dalam keadaan buntu, birasku menelefonku memberitahu mereka (dia dan isteri-kakak iparku) sedang berada di jambatan Sin San yang sedang ditenggelami banjir dan air yang sangat deras. Pihak keselamatan polis dan bomba berkejar ke sana bagi mengawal keadaan dan cuba menyelamat mangsa. Namun, pihak penyelamat tersekat oleh jalan penghubung ke kampung pasir Putih terputus, jadi tiada usaha menyelamat dan bantuan dapat dihulur waktu itu. Dilaporkan, jalan menjadi sesak di Jalan Sin San yang kebanyakannya ahli keluarga yang ingin datang cuba menolong keluarga yang dilanda banjir tetapi malangnya tersekat oleh banjir besar.


Dalam keadaan berdoa didalam hati, lebih kurang pukul 12 tengah malam tiba-tiba adikku di semenanjung hantar SMS memberitahu air sudah tenang dan surut sedikit begitu juga seperti apa yang birasku beritahu. Walaupun hatiku masih berasa sedih sehingga tidak sedar mengalir air mataku dengan dugaan besar yang menimpa ibubapaku dan saudaraku yang lain yang masih berada di atas bumbung dalam keadaan kesejukan dan hujan, namun aku bersyukur kepada Allah swt kerana mengkabulkan doa-doa hambaNya yang dalam kesusahan dan diambang maut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillahi Rabbil Alamin.
Air semakin surut sehinggalah lebih kurang pukul 4 pagi, mereka yang terperangkap dapat keluar dari rumah dan dibawa pergi ke rumah kakakku di Muhibbah. Aku dengan jelas dapat membayangkan betapa penat dan sedihnya mereka setelah menerima ujian yang sebegitu besar, hanya Dia yang Maha Mengetahui.


Apa yang sudah berlaku, musibah yang melanda kampung ini harus diambil pengajaran daripadanya. Kerana setiap apa yang Allah turunkan kepada manusia di muka bumi adalah untuk member peringatan kepada hambaNya agar mereka menginsafi dengan dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan juga hendak menaikkan darjat hambaNya apabila mereka tabah dan redha dengan ujian Ilahi. Sesungguhnya semua ini tidaklah berlaku melainkan ada hikmah disebaliknya.


Wallahua’lam.
Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.