Rabu, 10 November 2010

Banjir lagi...apalah nasib

Tanggal 9.11.2010 petang hari selasa, kampung Pasir Putih ditenggelami banjir lagi. Ini kalau tidak silap sudah yang kelima banjir terbesar melanda kampung. Dilaporkan semalam air telah mencecah hingga ke paras lantai rumah. Musibah ini dikatakan apabila air limpahan dari Sungai Tawau (empangan di Jambatan Putih ke Sin San) bertembung dengan air pasang laut.

Namun ini bukanlah sebab musababnya. Jawapan dari persoalan ini adalah seperti yang sebelum sebelum ini iaitu pembinaan lencongan air sungai Tawau ke laut melalui kampung yang tidak terancang. Ini berkali-kali dinyatakan dan diluahkan oleh penduduk kampung dan juga komen daripada orang ramai. Apapun, beginilah nasib penduduk kampung ini yang masih dalam dilema dan tidak terbela. Siapakah yang harus membela mereka selain wakil rakyat yang sudah dilantik.

Disini percaturan politik berlaku dalam menangani isu banjir yang tiada penghujungnya. Ditambah dengan JKKKnya yang lembab dan pilih bulu dalam menghulurkan bantuan sedangkan itu adalah tanggungjawabnya sebagai ketua. Tiada pilihan penduduk kampung selain mencari jalan alternatif dalam membela nasib mereka sekarang dan akan datang.

Apapun buat masa ini, kewaspadaan dalam menghadapi musibah dan masalah banjir yang tiada penghujungnya terpaksa diambil. Ini bagi mengelakkan penduduk kampung daripada menghadapi kesan lebih buruk lebih-lebih lagi keselamatan nyawa. Penduduk kampung harus dan terpaksa bersatu padu walaupun tanpa ketua, bekerjasama tolong menolong dalam menghadapi banjir ini.

Perlu dinyatakan disini, bahawa dalam menghadapi musibah sebegini dan penduduk kampung menderita, dimanakah Jabatan Kebajikan Masyarakat, dimanakah Kementerian Wilayah dan Luar Bandar, dimanakah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang paling lantang dimedia? Adakah hendak tunggu berlaku pilihanraya kecil dikawasan ini barulah mereka terhegeh-hegeh menghulurkan bantuan.

Agar berkat muafakat ini dapat mencari jalan keluar dalam menyelesaikan masalah ini yang mana sepatutnya dipikul oleh wakil rakyat dan ketua kampung itu sendiri. Dalam masa yang sama agar ada pihak tampil mengetengahkan masalah ini ke peringkat lebih tinggi tidak kiralah melalui saluran apa sekalipun termasuk media.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.