Rabu, 28 April 2010

Beg Sekolah Berat

Setiap kali permulaan musim sekolah isu beg sekolah yang berat berisi buku sering diperkatakan dan menjadi masalah kepada anak-anak sekolah. Masalah ini sangat dirasai oleh anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan iaitu dikalangan darjah satu dan juga pra-sekolah atau tadika. Namun, bukan sahaja anak-anak yang baru memulakan langkah pertama ke sekolah, malah murid-murid sekolah daripada kalangan darjah atas juga merasai masalah dan beban yang sama. Tapi yang sangat menjadi persoalan disini dan perlu diambil jalan penyelesaian segera adalah masalah beg sekolah berat dikalangan murid-murid yang baru pertama sekali menjejaki kaki ke alam persekolahan.

Persoalan yang ingin dilemparkan dan dibincangkan disini termasuklah dari segi faktor kesihatan dan pembelajaran untuk jangka masa panjang mahupun jangka masa pendek oleh anak-anak ini. Pihak berwajib seperti Kementerian Pelajaran, sekolah dan tidak terkecuali juga pihak ibubapa harus memikirkan langkah-langkah untuk penyelesaian dari masalah ini yang sudah berlarutan sekian saban tahun. Sehingga baru-baru ini isu tersebut dilontarkan semula bagi memastikan ianya diselesaikan segera.

Persoalan yang sering menjadi tanda tanya ibubapa adalah kenapa hanya baru pertama kali menjejaki kaki ke alam persekolahan sudah memikul bebanan buku pendidikan yang beigtu banyak dan berat oleh anak-anak sekolah ini? Kita tidak menafikan pendidikan anak-anak kita sangat penting, tapi tiadakah ada suatu pendekatan atau alternatif yang lebih eketif dan sihat bagi anak-anak ini. Di zaman yang dikatakan serba canggih ini, tidakkah ahli akademik dan kementerian memikirkan secara terperinci seterusnya menyelesaikan masalah ini.

Jika dilihat dari segi pendidikan adakah dengan pembelajaran dari buku yang banyak dan tebal yang diajarkan kepada anak-anak yang bersekolah ini efektif. Dengan kata lain, secara purata berapa peratus penerimaan pembelajaran dari buku yang banyak, tebal dan berat ini boleh diterima oleh anak-anak ini? Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan ianya akan menjadi sia-sia sahaja jika buku yang tebal lagi berat itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi pihak guru pula, benarkah mereka dapat menghabiskan silabus kesemuanya dengan efektif? Mungkin banyak lagi persoalan daripada isu beg sekolah berat ini dan mungkin boleh dikongsikan kemudian.

Dari segi kesihatan pula, seperti yang kita tahu bebanan yang berlebihan yang dipikul oleh anak-anak kita setiap hari memang boleh menjejaskan kesihatan mereka. Tambahan lagi, anak-anak yang darjah satu saiz dan berat badan mereka adalah berbeza walaupun sama usia. Mungkin tidak menjadi masalah anak-anak yang mempunyai susuk tubuh yang besar, tapi jangan dilupakan anak-anak yang bersaiz kecil. Jika diukur dari segi pakar kesihatan, untuk mengangkat dan membawa sesuatu beban, suatu teknik yang betul mestilah dipraktik bagi mengelakkan kecederaan atau masalah kepada tulang belakang sama untuk jangka masa panjang atau singkat. Dengan usia yang masih muda, adalah tidak munasabah untuk anak-anak ini membawa beban yang berat melebihi dari sepatutnya. Seperti nasihat pakar kesihatan, beban tidak seharusnya melebihi 10% dari berat anak-anak kita. Dan cuba bayangkan bebanan yang lebih ini dibawa setiap hari kesekolah? Mungkin seorang dewasa pun tidak mampu menerimanya.

Apapun, kita amat berharap pihak Kementerian Pelajaran mengkaji seberapa segera dan ambil tindakan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk oleh anak-anak sekolah ini. Pihak sekolah, guru-guru, ibubapa dan masayrakat seluruhnya juga harus bertindak dan memainkan peranan dengan memberi input positif kepada pihak berwajib.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.