Rabu, 28 April 2010

Fatwa Merokok





Isu tentang bahaya rokok ini bukanlah suatu perkara baru. Beberapa fatwa telah dikeluarkan sebelum ini oleh ulama Islam antarabangsa seperti oleh Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr. Ahmad ˜Umar Hashim (Naib Canselor Al-Azhar), Syeikh Ahmad as-Sunhawy al-Bahuty al-Anjalaby, Syeikh Al-Malakiyah Ibrahim al-Qaani dari Mesir, An-Najm al-Gazy al-Amiry as-Syafi’i dari Syria, dan ulamak Mekkah Abdul Malik al-Ashami, dan juga fatwa Dr Yusuf al-Qardhawi. Merokok haram hukumnya berdasarkan makna dari zahir ayat Al-Qur’an dan As-Sunnah serta iktibar (logik) yang benar.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud,

"Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan."

Merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith sahih melarang membazirkan harta kepada hal-hal yang tidak bermanfaat. Membeli rokok bukan sahaja memperuntukan harta pada hal yang tidak bermanfaat, bahkan boleh membawa kemudaratan.



Dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud "Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.".

Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud,

“Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran).” Rokok dan bau mulut perokok mengganggu orang lain, termasuk pada jamaah solat.



Sejak 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKBHEAI) Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam. Akta, Enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri-negeri memperuntukkan bahawa, suatu kenyataan oleh Mufti tidak boleh dikatakan sebagai fatwa dan tidak akan menjadi undang-undang yang mengikat (binding) melainkan jika ia telah dikeluarkan melalui prosedur yang telah ditetapkan di dalam Enakmen dan seterusnya disiarkan di dalam Warta. Penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidangkuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri. Di samping itu, tidak ada mana-mana negeri boleh dipaksa untuk menerima fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.