Rabu, 28 April 2010

Budak 15 tahun ditembak, salah siapa...?

Sejak akhir-akhir ini kes pembunuhan sangat berleluasa dimana-mana seluruh pelusuk dunia. Tidak usah kita bercakap apa yang berlaku diluar negara seperti di Palestin, Iraq, Amerika Syarikat atau ditempat lain. Cuba kita lihat sendiri apa yang sedang berlaku dalam negara kita. Sesungguhnya kes pembunuhan kian meningkat, itu yang dilaporkan. Bagaimana pula kes-kes yang tidak dilaporkan?

Terbaru kes kematian seorang remaja berumur 15 tahun ditembak oleh pihak berkuasa polis sepertimana yang dilaporkan dalam sebuah media. Walaupun ia masih dalam siasatan, spekulasi sudah pasti tidak dapat dielakkan disebabkan ia melibatkan nama pihak berkuasa. Oleh kerana masih dalam siasatan, kita tidak seharusnya menambahkan lagi spekulasi dan cerita-cerita yang boleh mengakibatkan kesalahan dibawah akta-akta yang sedia ada.

Sebagai ahli masyarakat, adalah lebih baik kita melihat kembali diri masing-masing dan suasana persekitaran kita. Adakah kita ini dalam lingkungan diri dan suasana yang sihat? Perlu difikirkan sama ada kita ini selamat didalam suasana negara pada ketika ini. Ini kerana saban hari kita mendengar dan melihat peristiwa dan kejadian yang kurang sihat dan kadang-kadang amat menakutkan. Apa yang lebih penting, kita perlu mencari suatu kaedah iaitu bagaimana kita dapat menyumbang dan memastikan perkara yang tidak sihat, ganas, menakutkan ini dapat di cegah dan dielakkan.

Seringkali masyarakat berpandangan, jika ada kes sebegini secara otomatik pihak berkuasalah yang akan pertama sekali dituding jari. Pihak berkuasa tidak menjalankan tugas dengan cekaplah, lalailah, tidak professionallah dan sebagainya. Sebagai ahli masyarakat seharusnya muhasabah diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan melulu kerana kita bertanggungjawab dalam memastikan setiap ahli keluarga kita dalam keadaan sihat jasmani dan rohani, maka barulah kita dapat mengecapi hidup yang harmoni. Perlu ditanya sama ada kita sebagai ketua keluarga telah melaksanakan tanggungjawab sebaiknya atau tidak? Perilaku isteri/suami dan anak kita bagaimana? Hubungan kita dengan masyarakat luar bagaimana? Keperihatinan kita pada persekitaran bagaimana? Yang paling penting lagi, hubungan dan kewajiban kita kepada Yang Maha Pencipta, bagaimana?
Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.