Jumaat, 29 Mei 2015

Syukurlah, redhalah.



Syukurlah, redhalah.

Ramainya manusia yang masih hidup disaat ini masih kurang rasa bersyukur dengan apa yang ada mahupun apa yang tiada pada mereka. Sedangkan nikmat yang Allah berikan kepada setiap batang tubuh manusia itu cukup banyak. Itu belum lagi dikira yang ada diluar dari tubuh manusia dan sekelilingnya. 

Teringat dalam satu hadith, ada disebut bahawa banyaknya nikmat Allah ke atas hambanya sesungguhnya tiada terkira, sehinggakan disebut jika semua pohon yang ada diatas dunia ini dijadikan pena dan tujuh lautan dijadikan sebagai dakwatnya, maka pohon dan dakwat ini takkan cukup untuk menulis senaraikan semua nikmat-nikmat yang Allah beri kepada hambaNya. Nak bagitau umat manusia betapa banyaknya nikmat yang Allah bagi, tapi masih ada insan yang kurang bersyukur dan redha. Allahu Rabbi.

Berkongsi pasal syukur dan redha ni, saya ingin berkongsi satu kisah mungkin berkaitan dan mungkin juga kurang berkaitan. Tapi sebab dah terfikir, saya nak juga kongsi sebab ini ilmu.

Dalam satu tazkirah dikatakan bahawa, suatu ketika Rasulullah SAW pernah berkata kepada puterinya Fatimah Radiallahu Anha (RA) bahawa, “Kau adalah keluarga yang paling awal menyusul aku setelah kematian ayahmu nak. Dan kau adalah penghulu dari segala wanita-wanita penghuni syurga. Tapi ada seorang wanita yang lebih dahulu masuk syurga daripada engkau”. Maka Fatimah terperanjat. Nabi SAW telah janji dia adalah penghulu wanita di dalam syurga tapi ada seorang wanita yang dulu akan masuk syurga daripada Fatimah. Maka Baginda Nabi SAW telah beritahu bahawa beliau ialah ibunda Atikah Radiallahu Anha. Maka Fatimah RA telah pergi ziarah kepada ibunda Atikah RA membawa bersama anaknda lelakinya iaitu Hussein RA yang ketika itu masih kecil. Fatimah pun mengucap salam, “Assalamualaikum”. “Wa’alaikumusalam” jawap Atikah RA. Siapa diluar? Tanya ibunda Atikah RA. “Fatimah” jawap Fatimah RA. Ada perlu apa? Tanya ibunda Atikah RA. “Saya mahu bersilaturrahim.” Jawap Fatimah RA. Fatimah dengan siapa? Tanya ibunda Atikah RA. “Saya bersama anak lelaki saya Hussein”. Jawap Fatimah RA. “Maaf, suami saya telah beri amanah, selagi saya tidak ada dirumah jangan ada seorang lelaki asing pun masuk ke rumah”. Kata ibunda Atikah RA. Fatimah berkata, “Wahai Atikah, ini anak kandungku dan dia masih kecil”. “Maaf, ini amanah suami”. Jawap Atikah RA. Maka Fatimah RA pun membawa pulang anaknya dan dia telah kembali ke rumah Atikah. Barulah dia dibenarkan masuk ke dalam rumah. Sedang mereka berbual-bual, maka ketika itu tiba-tiba Atikah RA berkata, “Wahai Fatimah, duduklah sekejap”. Maka Atikah pun membuat persiapan, dia telah mandi dengan memakai wangi-wangian serta memakai pakaian yang terbaik. Kemudian dia telah menghamparkan tikar (seprah), dan di atas seprah itu dia telah sediakan satu bekas air. Kemudian di situ dia letakkan sehelai kain. Kemudian dia letakkan sebatang rotan. Kemudian dalam keadaan dia selesai membuat persiapan dia menjumpai Fatimah RA. Maka Fatimah RA berkata, “Wahai Atikah, hendak ke mana?” “Ada hal apa sampai kau bersiap-siap seperti ini?” Maka dia berkata, “Wahai Fatimah, sekejap lagi suamiku akan pulang. Maka ketka dia pulang, aku mahu pastikan dia mendapatkan aku dalam keadaan bersiap untuk membahagiakan dia. “Wahai ibunda Atikah, untuk apakah engkau menghamparkan sehelai seprah dan engkau meletakkan tiga perkara diatasnya?” Tanya Fatimah RA. Maka dia berkata, “Wahai Fatimah, sekiranya suamiku pulang, maka pertama sekali aku akan menyambutnya dan aku akan mendudukkannya di atas seprah ini. Kemudian aku akan menghapus keringatnya dengan kasih sayang. Kemudian aku akan memberikan minuman air putih dengan tanganku sendiri. Setelah letihnya telah hilang, maka aku akan berkata kepada suamiku, “Wahai suamiku, sekiranya engkau kecewa dan tidak puas dengan layananku, maka inilah rotan dan cambuklah aku, semoga aku dapat terselamat daripada cambukan Allah di akhirat kelak. Mendengarkan itu maka Fatimah RA menangis di rumah Atikah RA, dia berkata “Wahai ibunda Atikah, tahukah mengapa aku datang ke mari?” Sesungguhnya Nabi SAW telah berjanji bahawa aku Fatimah adalah penghulu dari segala wanita-wanita di syurga nanti, tapi engkau ibunda Atikah memasuki syurga lebih awal daripada aku.” Maka Atikah RA pun begitu bersyukur ke hadrat Allah swt.
Allahu Akbar. 

Jadi, beginilah kita wahai muslimat sekalian, hari ini kita banyak menyakiti hati suami kita. Sedikit kesilapan, sedikit kekurangan kita akan ambil hati, mengata-ngata, malah ada yang sampai memaki-maki. Kita seakan-akan melupakan seluruh kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukan oleh suami kita. 

Apa yang dikongsikan disini bukanlah kita hendak menyalahkan kaum hawa atau isteri atau ibu semata-mata. Sesungguhnya tidak sama sekali. Jika ada unsur menyalahkan, semoga janganlah kita menyalahkan kekasih junjungan besar kita Rasulullah SAW yang banyak menegur tentang perihal wanita terhadap suami khususnya.

Begitu juga kepada para suami, janganlah rasa terbela dengan kisah diatas. Suami juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku dalam keluarga dari yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Sesungguhnya tanggungjawab seorang suami amatlah berat, sangat berat jika mereka mengetahuinya. Malangnya ramai yang jahil dan tidak kurang juga bagi mereka buat-buat jahil. Ingatlah, seorang lelaki baik dia itu seorang ayah, suami maupun anak lelaki mereka akan dipertanggungjawabkan pada hari hisab kelak atas empat orang jenis wanita. Pertama, akan disoal akan tanggungjawabnya terhadap isterinya, ibunya, saudara perempuannya dan anak perempuannya. Jangan kata kita boleh lepas semua jenis wanita ini, boleh jadi tanggungjawab terhadap salah seorangnya pun kita tak lepas, khususnya wanita yang bergelar isteri. Berbeza dengan kaum hawa, walaupun Nabi SAW ada berkata, kaum wanita adalah golongan yang paling ramai masuk neraka namun, kaum ini hanya dipertanggungjawabkan kepada seorang suami sahaja. Sekiranya dia dapat taat dan jadi seorang isteri solehah, maka tiket masuk ke syurga amatlah cerah. Walaupun hanya dipertanggungjawabkan kepada seorang suami sahaja, namun harus diingat, yang satu inilah yang selalu tak lepas disebabkan isteri kurang bersyukur dan redha dengan nikmat yang ada padanya dan disekelilingnya.

Memanglah, sukar untuk mencapai tahap seperti ibunda Atikah RA seperti kisah di atas lebih-lebih lagi pada akhir zaman ni.  Namun, para isteri dan ibu kenalah berusaha ke arah itu. Setidak-tidaknya, apabila di padang mahsyar nanti Allah tanya kelak, kita dapat jawap bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh. Dan para suami, hargailah isteri dan isteri-isteri anda, sayangi dan hormati mereka bukan melayan mereka seperti amah jauh sekali sebagai hamba abdi.

Bukanlah niat hendak menegur sesiapa, tapi apa yang saya nukilkan disini saya berdoa semoga sayalah yang akan mulakan perubahan ke arah itu terlebih dahulu. Saya pun seorang suami dan ayah kepada beberapa orang anak yang sangat serba kekurangan dan sering buat kesilapan yang berulang. Tapi inilah reality kehidupan didunia, banyak perkara yang kita boleh elak tapi lagi banyak perkara yang selalu kita terbabas. Walaupun begitu, sekiranya dah terbabas, cepat-cepatlah steer balik ke trek yang asal dan seterusnya akan menemui destinasi yang hendak ditujui (syurga Allah swt). Amin.

Sesungguhnya, tiadalah apa yang ditunggu-tinggu bagi setiap insan yang masih hidup di dunia ini, melainkan saat kematian untuk menemui Rabbnya. Dan masa itulah baru tersingkap semuanya, dan setiap penyesalan sudah tiada gunanya.

Doakanlah semua orang Islam.

Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.