Isnin, 18 Mei 2015

Ahlan wa Sahlan Ya Sya'ban



1hb Sya’ban 1346H.

Ahlan wa Sahlan Ya Sya’ban

Allahu Rabbi. Pejam celik pejam celik…sedar sedar sudah masuk ke bulan baru. Hari ini, menjelang maghrib telah masuk bulan baru dalam calendar Islam iaitu Bulan Sya’ban.

Terlebih dahulu, ana nak ajak semua sama-sama banyak-banyak beristighfar ke hadrat Allah swt. Kita disunatkan sentiasa beristighfar sebab kita ni hamba yang sentiasa  melakukan dosa. Dosa kecik, dosa besar, yang sengaja maupun yang tak sengaja. Ana juga ingin mengambil kesempatan ingin meminta maaf kepada semua yang mengenali atau yang baru kenal, maupun yang hanya baru berselisih siang tadi, kemarin, bulan lepas, malah perkenalan yang baru tengah berlaku sekarang ( ada jugak eh..? ), jadi maafkanlah kesilapan-kesilapan, kesalahan-kesalahan yang telah dan pernah ana lakukan, baik dari segi perbuatan, perkataan, lebih-lebih lagi perkara berkaitan hati.

Sesekali teringat, betapalah cepat masa berlalu. Kehidupan seseorang sangat berkaitan dengan masa. Masa terbahagi kepada masa dengan keberkatan dan masa yang tiada berkatnya. Seorang yang berasa hidupnya sentiasa tiada kesempatan, tak cukup masa, sibuk memanjang, sentiasa dalam terkejar atau dalam bahasa utagha (utara) tak dan, atau bahasa pantai timur kata dok dang, maka ini disebut kehidupan seseorang itu tidak disinari dengan cahaya keberkatan masa. Sebaliknya, lihatlah dengan mata dan kepala kita mereka yang sentiasa diselubungi dengan keberkatan masa. Mereka ini kebiasaannya golongan yang istimewa disisi Allah swt. Mereka ini dikawal selia oleh Allah swt secara langsung, sebab apa? Mereka ini sami’ wa atho’na, iaitu mereka dengar lalu mereka taat perintah Tuhan mereka Allah swt. Mereka menjaga dan memanfaatkan sebaik-baik masa yang diberikan oleh Nya. Tiada istilah melengahkan masa, mempunyai perancangan masa yang baik, jadual masa kehidupan yang teratur sesuai dengan sunatullah dan fitrah manusia. Maksudnya apa?, Allah swt sudah bahagikan masa dalam sehari dalam beberapa fasa. Setiap fasa itu mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang Dia sendiri telah aturkan untuk hambaNya supaya mereka sentiasa dalam keselamatan dan beruntung dalam apa jua situasi dan lapangan. Sebagai contoh, dalam sehari Allah swt bahagiakan masa dalam beberapa waktu seperti waktu fajar, syuruk, dhuha, zohor, asar, magrib dan isya’. Pada sebelah malamnya pula, malam dibahagikan dalam beberapa fasa, sehingga ke enam fasa seperti yang disebut dalam kitab-kitab para ulama’.

Maknanya apa?, manusia itu sebenarnya sudah diformat mengikut aturan sunatullah. Segala aktiviti harian manusia itu perlu dan harus mengikuti trek waktu ini dalam mencari keberkatan waktu. Yang pada akhirnya mereka akan beroleh kehidupan yang tenang, teraturan dan lapang. Sekiranya kita sengaja mengubah aturan sunatullah dan fitrah keperluan manusia terhadap masa, maka ia seolah-olah kita sedang berjalan pada trek laluan yang salah dan menyulitkan. Natijahnya, ramai yang tersesat dihujung jalan dan susah untuk berpatah pulang dan sesungguhnya masa itu tidak boleh diulang, dan masa itu terus pergi meninggalkan kita selama-lamanya. Apapun, ini semua garis panduan yang Dia bagi pilihan kepada hambaNya. Dan sememangnya, Allah swt tidak pernah zalim terhadap hambaNya malah ia berlaku sebaliknya, manusia menjadi ego disebabkan akal fikiran dan nafsu menguasai diri.

Sementara menulis atikel , ana secara sambil-sambil melayan nasyid yang menenangkan jiwa. Ketika ini ana sedang lagu nasyid bertajuk Ramadhan, nyayian oleh Maher Zain. Sungguh syahdu dan menyentuh kalbu. Ya, Ramadhan al-Mubarak yang kian muncul tak lama lagi, ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Ya Rabb, indahnya ketika ini. Sesungguhnya teramatlah manis dan indah hidup dalam suasana Islamik yang penuh sederhana tapi dipenuhi dengan bunga-bunga sakinah (ketenangan). Sakinah ini sangat diperlukan dalam meneruskan kehidupan, membantu dalam beribadah dan tawajjuh (focus) dalam mencari kredhaan Ilahi, dan paling penting lagi sakinah ini membantu hati yang sedang lemah untuk dihidupkan kembali.

Masa pun sudah menunjukkan pukul sebelas malam iaitu masa untuk melelapkan mata. Entah masih adakah atau tidak bagi ana untuk esok hari. Hanya Dia yang maha mengetahui. Sedih..

La Tahzan!
 
Demi masa! Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka berpesan-pesan kepada yang haq dan berpesan-pesan kepada kesabaran.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.