Khamis, 16 September 2010

Tawau ada Gunung Berapi @ Volkano..

Mungkin agak mustahil jika ada orang berkata di Malaysia ada gunung berapi. Tapi itulah realitinya. Di Malaysia memang ada bekas gunung berapi yang sudah berusia kira-kira 27,000 tahun. Gunung berapi ini terletak di Bombalai di daerah Tawau Sabah. Nama gunung ini adalah Gunung Maria dengan ketinggian 1,067 meter dari paras laut. Ia adalah daripada jenis gunung berapi "Pyroclastic Cone" dan berstatus "PreHolecene" iaitu gunung berapi yang berusia lebih daripada 12,000 tahun (keatas).




Gambar di atas adalah batu volkanik yang di temui di Sungai Balung Tawau berdekatan dengan perkampungan suku kaum Cocos. Batuan basalt ini terbentuk selepas letupan volkanik Gunung Maria iaitu gunung yang tertinggi di Tawau yang terletak di kawasan Taman Bukit Tawau (Table). Batu jenis ini juga tidak ditemui di mana-mana kawasan di Malaysia, hanya terdapat di Tawau menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia yang telah datang meninjau bagi mengesahkan keunikan batu tersebut.

Sekali melihat dan mengetahui terdapat bekas gunung berapi di Tawau, sedikit agak menakutkan. Maklumlah sebelum ini umum mengetahui negara ini bebas daripada lingkaran api atau gunung berapi tetapi hakikatnya ia pernah terjadi sejak ribuan tahun dahulu. Namun, sebagai warga Tawau, kita harus berbangga kerana dapat menyaksikan dan mengalami kejadian batu unik ini dan pasca fenomena ini secara tidak langsung.


Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.