Ramai yang mengeluh apabila tiba di rumah masing-masing tidak kurang juga ada yang marah-marah. Paling teruk lagi ada yang terpaksa makan magi saja. Apa pasal?
Inilah apabila sebut pasar ikan Tawau orang akan terfikirkan si penjual ikan yang menipu dan tidak jujur dalam berniaga. Ini bukanlah hendak memburuk-burukkan imej pasar ikan dan para peniaga di situ, tapi hanya hendak berkongsi maklumat dan cerita.
Persoalannya, dimanakah kepentingan dan hak pengguna (pembeli ikan)? Boleh dikatakan kebanyakan peniaga ikan pasar tidak berlaku jujur. Sebagai contoh, ikan yang dipamerkan diatas meja jualan semuanya nampak segar dan terpacak-pacak lagi menunjukkan ia tidak lembik atau sudah lama. Sebagai pengguna, memang kita hendakkan yang segar walaupun harganya mahal sedikit.
Kebiasaannya kita akan bertanya harga sekilo berapa, dan jika berkenan kita akan beli berapa kilo yang kita mahu dengan harga yang telah dipersetujui. Selepas itu, si penjual ikan akan menyodok atau mengambil ikan disebelah bawah longgokan ikan atas meja. Jika si pembeli tidak tahu atau perasan, ia memikirkan longgokan ikan itu semuanya segar seperti ikan yang terpacak disebelah atasnya, tapi sebenarnya kebanyakannya sudah dicampur dengan ikan yang tidak segar atau busuk. Inilah taktik si penjual ikan di pasar ikan Tawau.
Maaflah kepada para peniaga yang terasa dan secara kebetulan terbaca atikel ini dan memang tidak semua yang melakukan sedemikian, ada juga yang jujur dan ikhlas dalam berniaga. Kebiasaannya yang selalu berlaku jujur dikalangan peniaga Cina. Peniaga ini memang tidak menjual ikan yang tidak segar, jika ada pun mereka tidak akan mencampurkan dengan yang busuk. Tapi kenapa yang ‘busuk’ itu selalu berpihak kepada melayu? Ini persoalan yang perlu dibongkar.
Sebab itu sekarang, sudah ramai pengguna yang bijak dan professional tidak lagi atau jarang membeli ikan di pasar ikan Tawau. Golongan ini sanggup menunggu nelayan yang baru tiba dari laut untuk memborong dan membeli ikan yang segar.
Pihak berwajib sepatutnya selalu memantau dan bertindak tegas terhadap perkara ini dan kepada pembeli-pembeli ikan yang teraniaya jangan segan silu atau takut untuk membuat laporan kepada pihak persatuan pengguna. Semoga dengan tindakan positif semua pihak akan memperbetulkan keadaan yang salah ini yang sudah sekian lama berlaku dan merugikan pengguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan