Jumaat, 29 Mei 2015

Syukurlah, redhalah.



Syukurlah, redhalah.

Ramainya manusia yang masih hidup disaat ini masih kurang rasa bersyukur dengan apa yang ada mahupun apa yang tiada pada mereka. Sedangkan nikmat yang Allah berikan kepada setiap batang tubuh manusia itu cukup banyak. Itu belum lagi dikira yang ada diluar dari tubuh manusia dan sekelilingnya. 

Teringat dalam satu hadith, ada disebut bahawa banyaknya nikmat Allah ke atas hambanya sesungguhnya tiada terkira, sehinggakan disebut jika semua pohon yang ada diatas dunia ini dijadikan pena dan tujuh lautan dijadikan sebagai dakwatnya, maka pohon dan dakwat ini takkan cukup untuk menulis senaraikan semua nikmat-nikmat yang Allah beri kepada hambaNya. Nak bagitau umat manusia betapa banyaknya nikmat yang Allah bagi, tapi masih ada insan yang kurang bersyukur dan redha. Allahu Rabbi.

Berkongsi pasal syukur dan redha ni, saya ingin berkongsi satu kisah mungkin berkaitan dan mungkin juga kurang berkaitan. Tapi sebab dah terfikir, saya nak juga kongsi sebab ini ilmu.

Dalam satu tazkirah dikatakan bahawa, suatu ketika Rasulullah SAW pernah berkata kepada puterinya Fatimah Radiallahu Anha (RA) bahawa, “Kau adalah keluarga yang paling awal menyusul aku setelah kematian ayahmu nak. Dan kau adalah penghulu dari segala wanita-wanita penghuni syurga. Tapi ada seorang wanita yang lebih dahulu masuk syurga daripada engkau”. Maka Fatimah terperanjat. Nabi SAW telah janji dia adalah penghulu wanita di dalam syurga tapi ada seorang wanita yang dulu akan masuk syurga daripada Fatimah. Maka Baginda Nabi SAW telah beritahu bahawa beliau ialah ibunda Atikah Radiallahu Anha. Maka Fatimah RA telah pergi ziarah kepada ibunda Atikah RA membawa bersama anaknda lelakinya iaitu Hussein RA yang ketika itu masih kecil. Fatimah pun mengucap salam, “Assalamualaikum”. “Wa’alaikumusalam” jawap Atikah RA. Siapa diluar? Tanya ibunda Atikah RA. “Fatimah” jawap Fatimah RA. Ada perlu apa? Tanya ibunda Atikah RA. “Saya mahu bersilaturrahim.” Jawap Fatimah RA. Fatimah dengan siapa? Tanya ibunda Atikah RA. “Saya bersama anak lelaki saya Hussein”. Jawap Fatimah RA. “Maaf, suami saya telah beri amanah, selagi saya tidak ada dirumah jangan ada seorang lelaki asing pun masuk ke rumah”. Kata ibunda Atikah RA. Fatimah berkata, “Wahai Atikah, ini anak kandungku dan dia masih kecil”. “Maaf, ini amanah suami”. Jawap Atikah RA. Maka Fatimah RA pun membawa pulang anaknya dan dia telah kembali ke rumah Atikah. Barulah dia dibenarkan masuk ke dalam rumah. Sedang mereka berbual-bual, maka ketika itu tiba-tiba Atikah RA berkata, “Wahai Fatimah, duduklah sekejap”. Maka Atikah pun membuat persiapan, dia telah mandi dengan memakai wangi-wangian serta memakai pakaian yang terbaik. Kemudian dia telah menghamparkan tikar (seprah), dan di atas seprah itu dia telah sediakan satu bekas air. Kemudian di situ dia letakkan sehelai kain. Kemudian dia letakkan sebatang rotan. Kemudian dalam keadaan dia selesai membuat persiapan dia menjumpai Fatimah RA. Maka Fatimah RA berkata, “Wahai Atikah, hendak ke mana?” “Ada hal apa sampai kau bersiap-siap seperti ini?” Maka dia berkata, “Wahai Fatimah, sekejap lagi suamiku akan pulang. Maka ketka dia pulang, aku mahu pastikan dia mendapatkan aku dalam keadaan bersiap untuk membahagiakan dia. “Wahai ibunda Atikah, untuk apakah engkau menghamparkan sehelai seprah dan engkau meletakkan tiga perkara diatasnya?” Tanya Fatimah RA. Maka dia berkata, “Wahai Fatimah, sekiranya suamiku pulang, maka pertama sekali aku akan menyambutnya dan aku akan mendudukkannya di atas seprah ini. Kemudian aku akan menghapus keringatnya dengan kasih sayang. Kemudian aku akan memberikan minuman air putih dengan tanganku sendiri. Setelah letihnya telah hilang, maka aku akan berkata kepada suamiku, “Wahai suamiku, sekiranya engkau kecewa dan tidak puas dengan layananku, maka inilah rotan dan cambuklah aku, semoga aku dapat terselamat daripada cambukan Allah di akhirat kelak. Mendengarkan itu maka Fatimah RA menangis di rumah Atikah RA, dia berkata “Wahai ibunda Atikah, tahukah mengapa aku datang ke mari?” Sesungguhnya Nabi SAW telah berjanji bahawa aku Fatimah adalah penghulu dari segala wanita-wanita di syurga nanti, tapi engkau ibunda Atikah memasuki syurga lebih awal daripada aku.” Maka Atikah RA pun begitu bersyukur ke hadrat Allah swt.
Allahu Akbar. 

Jadi, beginilah kita wahai muslimat sekalian, hari ini kita banyak menyakiti hati suami kita. Sedikit kesilapan, sedikit kekurangan kita akan ambil hati, mengata-ngata, malah ada yang sampai memaki-maki. Kita seakan-akan melupakan seluruh kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukan oleh suami kita. 

Apa yang dikongsikan disini bukanlah kita hendak menyalahkan kaum hawa atau isteri atau ibu semata-mata. Sesungguhnya tidak sama sekali. Jika ada unsur menyalahkan, semoga janganlah kita menyalahkan kekasih junjungan besar kita Rasulullah SAW yang banyak menegur tentang perihal wanita terhadap suami khususnya.

Begitu juga kepada para suami, janganlah rasa terbela dengan kisah diatas. Suami juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku dalam keluarga dari yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Sesungguhnya tanggungjawab seorang suami amatlah berat, sangat berat jika mereka mengetahuinya. Malangnya ramai yang jahil dan tidak kurang juga bagi mereka buat-buat jahil. Ingatlah, seorang lelaki baik dia itu seorang ayah, suami maupun anak lelaki mereka akan dipertanggungjawabkan pada hari hisab kelak atas empat orang jenis wanita. Pertama, akan disoal akan tanggungjawabnya terhadap isterinya, ibunya, saudara perempuannya dan anak perempuannya. Jangan kata kita boleh lepas semua jenis wanita ini, boleh jadi tanggungjawab terhadap salah seorangnya pun kita tak lepas, khususnya wanita yang bergelar isteri. Berbeza dengan kaum hawa, walaupun Nabi SAW ada berkata, kaum wanita adalah golongan yang paling ramai masuk neraka namun, kaum ini hanya dipertanggungjawabkan kepada seorang suami sahaja. Sekiranya dia dapat taat dan jadi seorang isteri solehah, maka tiket masuk ke syurga amatlah cerah. Walaupun hanya dipertanggungjawabkan kepada seorang suami sahaja, namun harus diingat, yang satu inilah yang selalu tak lepas disebabkan isteri kurang bersyukur dan redha dengan nikmat yang ada padanya dan disekelilingnya.

Memanglah, sukar untuk mencapai tahap seperti ibunda Atikah RA seperti kisah di atas lebih-lebih lagi pada akhir zaman ni.  Namun, para isteri dan ibu kenalah berusaha ke arah itu. Setidak-tidaknya, apabila di padang mahsyar nanti Allah tanya kelak, kita dapat jawap bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh. Dan para suami, hargailah isteri dan isteri-isteri anda, sayangi dan hormati mereka bukan melayan mereka seperti amah jauh sekali sebagai hamba abdi.

Bukanlah niat hendak menegur sesiapa, tapi apa yang saya nukilkan disini saya berdoa semoga sayalah yang akan mulakan perubahan ke arah itu terlebih dahulu. Saya pun seorang suami dan ayah kepada beberapa orang anak yang sangat serba kekurangan dan sering buat kesilapan yang berulang. Tapi inilah reality kehidupan didunia, banyak perkara yang kita boleh elak tapi lagi banyak perkara yang selalu kita terbabas. Walaupun begitu, sekiranya dah terbabas, cepat-cepatlah steer balik ke trek yang asal dan seterusnya akan menemui destinasi yang hendak ditujui (syurga Allah swt). Amin.

Sesungguhnya, tiadalah apa yang ditunggu-tinggu bagi setiap insan yang masih hidup di dunia ini, melainkan saat kematian untuk menemui Rabbnya. Dan masa itulah baru tersingkap semuanya, dan setiap penyesalan sudah tiada gunanya.

Doakanlah semua orang Islam.

Wallahua’lam.

Isnin, 18 Mei 2015

Ahlan wa Sahlan Ya Sya'ban



1hb Sya’ban 1346H.

Ahlan wa Sahlan Ya Sya’ban

Allahu Rabbi. Pejam celik pejam celik…sedar sedar sudah masuk ke bulan baru. Hari ini, menjelang maghrib telah masuk bulan baru dalam calendar Islam iaitu Bulan Sya’ban.

Terlebih dahulu, ana nak ajak semua sama-sama banyak-banyak beristighfar ke hadrat Allah swt. Kita disunatkan sentiasa beristighfar sebab kita ni hamba yang sentiasa  melakukan dosa. Dosa kecik, dosa besar, yang sengaja maupun yang tak sengaja. Ana juga ingin mengambil kesempatan ingin meminta maaf kepada semua yang mengenali atau yang baru kenal, maupun yang hanya baru berselisih siang tadi, kemarin, bulan lepas, malah perkenalan yang baru tengah berlaku sekarang ( ada jugak eh..? ), jadi maafkanlah kesilapan-kesilapan, kesalahan-kesalahan yang telah dan pernah ana lakukan, baik dari segi perbuatan, perkataan, lebih-lebih lagi perkara berkaitan hati.

Sesekali teringat, betapalah cepat masa berlalu. Kehidupan seseorang sangat berkaitan dengan masa. Masa terbahagi kepada masa dengan keberkatan dan masa yang tiada berkatnya. Seorang yang berasa hidupnya sentiasa tiada kesempatan, tak cukup masa, sibuk memanjang, sentiasa dalam terkejar atau dalam bahasa utagha (utara) tak dan, atau bahasa pantai timur kata dok dang, maka ini disebut kehidupan seseorang itu tidak disinari dengan cahaya keberkatan masa. Sebaliknya, lihatlah dengan mata dan kepala kita mereka yang sentiasa diselubungi dengan keberkatan masa. Mereka ini kebiasaannya golongan yang istimewa disisi Allah swt. Mereka ini dikawal selia oleh Allah swt secara langsung, sebab apa? Mereka ini sami’ wa atho’na, iaitu mereka dengar lalu mereka taat perintah Tuhan mereka Allah swt. Mereka menjaga dan memanfaatkan sebaik-baik masa yang diberikan oleh Nya. Tiada istilah melengahkan masa, mempunyai perancangan masa yang baik, jadual masa kehidupan yang teratur sesuai dengan sunatullah dan fitrah manusia. Maksudnya apa?, Allah swt sudah bahagikan masa dalam sehari dalam beberapa fasa. Setiap fasa itu mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang Dia sendiri telah aturkan untuk hambaNya supaya mereka sentiasa dalam keselamatan dan beruntung dalam apa jua situasi dan lapangan. Sebagai contoh, dalam sehari Allah swt bahagiakan masa dalam beberapa waktu seperti waktu fajar, syuruk, dhuha, zohor, asar, magrib dan isya’. Pada sebelah malamnya pula, malam dibahagikan dalam beberapa fasa, sehingga ke enam fasa seperti yang disebut dalam kitab-kitab para ulama’.

Maknanya apa?, manusia itu sebenarnya sudah diformat mengikut aturan sunatullah. Segala aktiviti harian manusia itu perlu dan harus mengikuti trek waktu ini dalam mencari keberkatan waktu. Yang pada akhirnya mereka akan beroleh kehidupan yang tenang, teraturan dan lapang. Sekiranya kita sengaja mengubah aturan sunatullah dan fitrah keperluan manusia terhadap masa, maka ia seolah-olah kita sedang berjalan pada trek laluan yang salah dan menyulitkan. Natijahnya, ramai yang tersesat dihujung jalan dan susah untuk berpatah pulang dan sesungguhnya masa itu tidak boleh diulang, dan masa itu terus pergi meninggalkan kita selama-lamanya. Apapun, ini semua garis panduan yang Dia bagi pilihan kepada hambaNya. Dan sememangnya, Allah swt tidak pernah zalim terhadap hambaNya malah ia berlaku sebaliknya, manusia menjadi ego disebabkan akal fikiran dan nafsu menguasai diri.

Sementara menulis atikel , ana secara sambil-sambil melayan nasyid yang menenangkan jiwa. Ketika ini ana sedang lagu nasyid bertajuk Ramadhan, nyayian oleh Maher Zain. Sungguh syahdu dan menyentuh kalbu. Ya, Ramadhan al-Mubarak yang kian muncul tak lama lagi, ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Ya Rabb, indahnya ketika ini. Sesungguhnya teramatlah manis dan indah hidup dalam suasana Islamik yang penuh sederhana tapi dipenuhi dengan bunga-bunga sakinah (ketenangan). Sakinah ini sangat diperlukan dalam meneruskan kehidupan, membantu dalam beribadah dan tawajjuh (focus) dalam mencari kredhaan Ilahi, dan paling penting lagi sakinah ini membantu hati yang sedang lemah untuk dihidupkan kembali.

Masa pun sudah menunjukkan pukul sebelas malam iaitu masa untuk melelapkan mata. Entah masih adakah atau tidak bagi ana untuk esok hari. Hanya Dia yang maha mengetahui. Sedih..

La Tahzan!
 
Demi masa! Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka berpesan-pesan kepada yang haq dan berpesan-pesan kepada kesabaran.

Wassalam.

Rabu, 13 Mei 2015

Tahniah Kak Wan

 Salam Reformasi.

Saya...macam mana pun nak jugak merakamkan bebelan ini mengenai keluarga yang gelar "iron women" yang tidak dapat tidak, saya mesti tulis walaupun sedikit, tanda saya tabik dan menghormati mereka. Ni pun dah terlambat untuk ditulis dalam blog disebabkan kesibukan kerja duniawi yang memang tak pandai habis. Jadi...malam ni, owh! sebenarnya jarum jam yang melekat didinding besi tu sudah menghampiri pukul tiga pagi. Hanya beberapa waktu lagi masuknya waktu subuh bagi kawasan disini, Bintulu. 


Tidak dapat dibayangkan betapa banyak pengorbanan, penderitaan dan kesakitan yang mereka tempuhi dan hadapi. Baik dalam bentuk fizikal maupun mental. Ujian yang mereka lalui sesungguhnya tiada siapa yang boleh pikuli melainkan mereka itu mempunyai 'extraordinary spirit' yang dianugerahkan oleh Sang Maha Kuasa. Ujian semakin hebat bila mana sang ketua keluarga juga sang ketua reformasi negara ini disumbat ke dalam penjara atas tuduhan dan dakwaan pihak yang memang ingin menjatuhkannya atau boleh dikatakan sebagai tahanan politik.





Telah mengikuti perkembangan dan perjalanan kehidupan mereka, khususnya dalam bidang dan kancah politik tanah air sejak tahun 1998, iaitu hari hitam bagi negara ini. Tidak perlu diulas lanjut perkara ini, cukuplah dengan mengenang kembali tragedi 20 & 29 September 1998 peristiwa hitam negara yang betul-betul mengaibkan sistem demokrasi berperlembagaan negara.


Telah berlangsung pilihanraya kecil PRK P.44 Permatang Pauh, dimana Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menang dengan majoriti besar menewaskan lawan dari BN dan Bebas pada 7 Mei 2015. Walaupun banyak ramalan dan penganalisis politik mengatakan akan berlaku penyusutan majoriti disebabkan rakyat sudah bosan dengan mainan politik Parti Keadilan Rakyat PKR yang didominasi oleh keluarga anak-beranak Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ternyata anggapan meleset, dan ternyata pengundi di Permatang Pauh khususnya masih yakin dan berharap dengan kepimpinan dari Pakatan Rakyat dalam melakukan perubahan demi rakyat marhaen. 


Rasanya ini saja nak kongsikan bebelan awal pagi ni. Juga ingin merakamkan ucapan Tahniah buat Permaisuri Reformasi YB Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai wakil rakyat bagi Permatang Pauh, buat kali yang kedua bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa melepaskan kerusi itu, selepas hakim menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Apa yang saya sangat tabik dengan keluarga ini, perkataan lemah, kalah, susah, sedih, takut dan yang seumpamanya langsung tiada dalam kamus hidup mereka. Walaupun mereka 'kehilangan' tonggak utama selaku suami dan ayah dalam keluarga ini, namun mereka anak-beranak tetap teruskan perjuangan, bukan atas kepentingan peribadi, tapi...demi RAKYAT. Hebat!

Wallahua'lam.



 
Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.