Rabu, 25 Disember 2013

"Kalau mau sembahyang surau di sebelah sana"

Bismillah.

Sekadar hendak berkongsi suatu pengalaman admin sendiri, semoga ada iktibar dan pengajaran didalamnya. Suatu hari saya telah memulakan perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu dengan memandu kereta lama saya jenama proton iswara tahun keluaran tahun 1999. Saya bertolak sekitar jam 3 petang dan menjangkakan tiba di Kota Kinabalu jam 1 pagi melalui jalan Kinabatangan-Telupid-Ranau.

Diringkaskan cerita, lebih kurang jam 10.30 malam kereta yang saya pandu ditakdirkan kehabisan minyak disebabkan hos bocor. Masa itu saya sudah berada di perkampungan Matupang iaitu diantara Telupid dan Ranau. Dengan keadaan yang gelap dan sepi, saya pun berhenti di bahu jalan yang mana terdapat sebuah rumah berdekatan.

Dengan perasaan risau, takut pun ada, maklumlah kawasan pedalaman lagi sepi dan gelap. Saya ketuk pintu rumah berdekatan tadi dengan memanggil “hello”, sebab fikir di sini perkampungan bukan Islam. Setelah beberapa ketika, tiba-tiba pintu terbuka sedikit. Kelihatan pada muka pakcik tu perasaan takut dan ragu-ragu untuk terus membuka pintu. Namun saya telah perkenalkan diri dan menceritakan perihal sebenar dan memohon belas ehsan daripada tuan rumah untuk menumpang di kawasan beranda rumah semalaman sementara menunggu esok pagi.

Melihat jam sudah pukul 11 malam. Saya duduk sendirian di luar beranda rumah tersebut. Beberapa ketika pintu terbuka dan pakcik tua tadi keluar dan duduk bersama diatas bangku dan sebagai hendak melayan tetamu walaupun sudah larut malam. Pakcik tua itu melayan dan berbual baik dengan saya membuatkan saya berasa senang dan juga berasa serba salah kerana malam-malam buta menyusahkan keluarga ini.

Sementara berbual-bual, tidak disangka keluar seorang anak perempuannya menghidangkan kopi panas dan juga sedikit biskut, menjadikan saya bertambah segan silu. Sempat terdetik dalam hati saya, betapa baik dan mulianya hati keluarga ini. Setelah itu pakcik itu memberitahu, dia mempunyai 9 orang anak yang berlainan agama tinggal sebumbung dalam rumah tersebut. Saya pun rasa tergamam dan betul-betul menarik perhatian dengan situasi tersebut. Sambung pakcik tu lagi, 5 orang beragama kristian termasuk dia dan isteri, dan selebihnya 4 orang beragama Islam, tapi dia berkata mereka hidup dalam keadaan harmoni  dan saling menghormati dalam perihal agama masing-masing seperti keluarga lain. Sekali lagi terdetik dalam hati, kagum dengan keluarga ini.

Sebelum pakcik masuk tidur selepas panjang bercerita, dia beberapa kali mengajak saya untuk tidur dalam rumah (ruang tamu) mungkin kerana ingin menghormati tetamu dan tidak sampai hati membiarkan tetamu tidur sendirian di beranda dalam keadaan sejuk dan kurang selesa lagi gelap. Namun, oleh kerana pakcik dan keluarga ini begitu menghormati saya, saya juga membalas penghormatan mereka dengan hanya cukup tidur di luar beranda saja kerana tidak mahu menyusahkan lagipun ingin menjaga ‘aurat rumah’ tersebut.

"Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu penghormatan maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah penghormatan itu dengan yang serupa. Allah selalu membuat perhitungan atas tiap-tiap sesuatu." - Surah An-Nisa' Ayat 86.


Pakcik tu pun akur dan memberikan saya bantal, selimut tebal dan ubat nyamuk (lingkaran racun), dan terlihat diwajahnya perasaan serba salah. Dan yang paling menyentuh perasaan saya adalah, sempat pakcik itu menunjukkan kepada saya surau berdekatan dengan berkata, “kalau mau sembahyang, surau di sebelah sana”. 

Iktibar dan pengajaran yang dapat dipelajari dari pengalaman ini adalah toleransi antara agama itu perlu untuk menjamin keharmonian sejagat selagi mana ia tidak berkaitan dengan soal akidah khususnya bagi umat Islam. Melalui toleransi ini maka terbitnya sifat hormat-menghormati, faham-memahami dan menghargai antara satu sama lain, dan ini amat dituntut oleh Islam.


Satu yang harus diketahui adalah, Islam itu pun menghargai adanya kemajmukan, perbezaan (Plurality) agama selama kemajmukan itu tidak menyakiti, mempersenda dan memerangi agama Islam. Akan tetapi Islam tidak sesekali menerima (Pluralisme) iaitu suatu fahaman yang harus diyakini keberadaannya (agama selain Islam).

Wallahua'lam.



Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.