Rabu, 3 September 2008

Fadhilat Ramadhan - 3 Ramadhan 1429H

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya’aban:

“Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam (Lailatul Qadr) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah s.w.t telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya (berterawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan yang lain.

Ia adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun dari ganjarannya. Sahabat-sahabat r.anhum lalu berkata “Tidaklah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda “Allah s.w.t memberikan pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar (kurma) atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.”

Ia adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan beban hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah dan akan dilepaskan dari azab api neraka.

Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu dengan dua perkara dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain dari Allah s.w.t dan kamu memohon istighfar daripadaNya. Sementara dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah dan meminta perlindungan dari api neraka.

Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah s.w.t akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.”

Riwayat Ibnu Khuzaimah, Baihaqi, Ibnu Hibban.

Sabda Rasulullah : "Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat"

Wallahua'lam.

Rajab Mariali

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.