Dalam kes bencana banjir yang melanda Kg Pasir Putih pada 29/07/2010 baru-baru ini, terdapat laporan yang keluar dari mulut Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semasa pemberian bantuan oleh Ahli Parlimen Kalabakan pada 14/08/2010, yang mana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak memberikan kerjasama yang baik kepada pihak kampung yang memerlukan bantuan dan kebajikan. Pihak JKKK dilaporkan mencadangkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau untuk bersama-sama turun ke rumah-rumah mangsa banjir bagi mengenal pasti penduduk yang layak mendapat bantuan. Tetapi malangnya, alasan yang diberikan oleh jabatan tersebut ialah “penat”. Mereka berasa usaha tersebut memenatkan jika hendak pergi ke setiap rumah yang dilanda banjir.
Ini suatu alasan dan ungkapan yang paling tidak boleh diterima. Apakah patut jabatan yang dipertanggungjawabkan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat mengeluarkan ungkapan sedemikian? Sebagai rakyat yang merdeka yang dilindungi oleh undang-undang dan perlembagaan, kami ingin bertanya kepada jabatan terbabit, apakah dasar jabatan ini ditubuhkan? Apakah yang kamu maksudkan dengan “penat” dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan gaji oleh kerajaan yang mana wang kerajaan itu hasil daripada rakyat jua. Kami adalah rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan setiap tahun. Apakah tujuan kutipan cukai tersbut dan dimanakah ia dibelanjakan?! Untuk siapa?
Mungkin jabatan tersebut harus memikirkan semula kenyataan yang dibuat, sebelum tindakan akan diambil oleh rakyat yang mahukan pembelaan dan keadilan. Jangan fikir kamu dibawah jabatan kerajaan kamu boleh berdolak-dalih dengan alasan yang sangat tidak munasabah. Alasan penat yang diungkapkan memang tidak boleh diterima. Memanglah jika kamu yang melakukan berseorangan, kamu akan berasa penat. Tapi gunakanlah akal fikiran yang Tuhan anugerahkan bagaimana hendak menyelesaikan sesuatu masalah bukannya secara mudah mengatakan ia suatu yang memenatkan.
Rasanya, isu ini tidak akan berhenti disini, sebagai rakyat isu ini akan diketengahkan bagi membuka semua mata rakyat Malaysia dan pemimpin negara yang begitu lantang dalam mengungkapkan slogan “rakyat didhulukan, pencapaian diutamakn”. Sebagai wakil mangsa banjir kampung ini, tindakan sewajarnya akan disusuli keatas kenyataan “penat” ini oleh jabatan kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan