Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah SWT. Selawat serta salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, para ahli keluarga Baginda SAW, Sahabat-Sahabat Baginda SAW dan kepada mereka yang mengikuti Baginda SAW.
Pertama-tama sekali marilah kita banyakkan memohon keampunan kepada Allah SWT dengan mengucapkan Istighfar dan keselamatan dari api neraka. Banyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Marilah kita bersyukur kepada Allah SWT diatas hidayah-Nya dan juga banyaknya nikmat-nikmat yang diberikan oleh-Nya ke atas kita.
Tuan-tuan yang mulia,
Dalam beberapa hari yang lalu kita dikejutkan dengan laporan berita berkaitan maksiat yang melibatkan murid-murid sekolah. Seperti apa yang dilaporkan, terdapat di sebuah daerah kegiatan merosakkan akhlak murid-murid sekolah dengan cara menyediakan "disko bergerak". Mungkin orang akan bertanya apa yang dimaksudkan disko begerak ini. Ia adalah kenderaan pengangkutan awam atau bas yang sedang bergerak dan dijadikan ruang disko persis kelab malam yang penuh maksiat dimana lagu-lagu dengan suara dan bunyi pembesar suara yang melampau. Kegiatan ini dilaporkan mensasarkan murid-murid sekolah sebagai mangsanya dengan mengenakan bayaran bagi membolehkan anak-anak yang tidak bersalah ini "menikmati" suasana disko bergerak ini yang melalaikan lagi merosakkan akhlak. Mungkin tidak dapat dinafikan sekiranya berlaku percampuran murid-murid lelaki dan perempuan dalam kegiatan maksiat ini. Sebagai ibubapa dan juga golongan pendidik atau guru sekolah sudah semestinya perkara ini menjadi yang sangat membimbangkan. Memang berlaku perkara-perkara seperti kenderaan pengangkutan awam terutamanya bas-bas mini di daerah ini menggunaka alat bunyi atau pembesar suara yang tidak sepatutnya dipasang pada sesebuah kenderaan penumpang awam. Ini kerana, dengan memainkan lagu dengan pembesar suara bunyian tinggi dan nyaring (melebihi 86dB) ini dapat merosakkan alat pendengaran penumpang-penumpang yang tidak berdosa dan tidak bersalah. Penumpang-penumpang kenderaan awam juga mempunyai hak-hak tertentu terhadap kenderaan awam seperti keselamatan mereka dijamin selamat dan tidak mengganggu ketenteraman semasa dalam menggunakan khidmat pengangkutan ini kerana perkhidmatan ini bukannya percuma tapi berbayar secukupnya. Lebih-lebih lagi jika perkara ini berlaku kepada anak-anak sekolah yang masih mentah dan tidak berdosa.
Kita amat berdukacita terhadapa pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam kegiatan yang tidak berkhlak dan haram disisi agama Islam. Kita juga amat berdukacita sekiranya pihak berkuasa dan berwajib berkaitan pengangkutan dan keselamatan awam tidak menguatkuasa undang-undang, memantau dan mengenakan tindakan serius terhadap pengusaha pengangkutan awam yang didapati bersalah.
Ibubapa, pihak guru, sekolah dan seluruh masyarakat harus peka dan bertanggungjawab dalam ini yang mana ia melibatkan generasi masa depan yang akan mewariskan apa yang ada sekarang. Sekiranya awal-awal lagi generasi ini sudah di "rosakkan", bagaimana kita hendak mengharapkan suatu masa depan berjaya dan aman damai. Kita tidak membataskan kejayaan itu hanya di atas dunia ini sahaja, tapi harapan kejayaan itu malah lebih jauh lagi sampai ke akhirat iaitu suatu negeri yang kekal selama-lamanya. Dan, kita mohon dijauhkan dari api neraka yang didalamnya siksa yang sangat pedih untuk selama-lamanya juga. Na'udzu billahi minannaar.
Tuan-tuan yang mulia, sedar atau tidak sedar kita sedang berada pada suatu waktu yang dipanggil akhir zaman dan kitalah umat akhir zaman itu. Tiada lagi zaman selepas ini yang mana membawa maksud kita hanya dan sedang menanti datangnya hari Qiyamah. Persoalannya, adakah kita sudah membuat persiapan dan bekalan yang cukup untuk perjalanan yang amat jauh menuju negeri akhirat seterusnya dapat masuk ke dalan syurga Allah SWT? Subhanallah...Inilah perkara yang patut difikir-risaukan oleh sekalian umat manusia dan janganlah hanya setakat berperasaan takut, tapi usahakan iman taqwa itu dan buatlah amal soleh, juga sampaikanlah apa-apa yang daripada Nabi SAW kepada seluruh umat manusia walaupun sepotong ayat.
Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah
bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu,
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka
masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat
bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau
maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
(Riwayat Muslim)
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan