Ahad, 1 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Banjir Kilat - 1

Pada 29/07/2010 - Lebih kurang pukul 8.15 malam (khamis malam jumaat) aku menerima panggilan telefon daripada adikku yang berada di Semenanjung. Pada waktu itu aku sedang menghadiri perjumpaan antara majikan dan pekerja di sebuah hotel di Bintulu Sarawak. Aku pun terus menyambut panggilan tersebut dan keluar dari bilik mesyuarat. Aku terus berbual dengan adikku dan memberitahu yang rumah ibubapaku sedang ditenggelami banjir kilat di Kg Pasir Putih Tawau Sabah. Aku mula tergamam dan seolah-olah tersalah dengar. Dengan suara serius dan panik adikku, aku terus ingin mengetahui apa sedang berlaku secara terperinci.


Setelah aku mengetahui hal yang sedang berlaku aku berasa panik seketika dan cuba menghubungi adikku yang berada sekali dengan ibubapaku di rumah yang dilanda banjir. Setelah beberapa kali mendail telefon mudah alihnya, akhirnya aku berjaya menelefonnya dan cuba mendapat maklumat sebenar yang berlaku ketika itu. Adikku memberitahu, rumah sudah dinaiki air dengan agak cepat bermula waktu maghrib kira-kira pukul 6.45 petang. Pada mulanya air masih dibawah kolong rumah dan menyangka keadaan banjir biasa yang sering berlaku. Tetapi, setelah beberapa ketika air semakin naik dengan cepat sehingga tiada apa yang dapat diselamat jauh sekali melarikan diri ke tempat tinggi yang selamat. Akhirnya mereka semua (ibuku, bapaku, adik perempuanku seorang, adik lelakiku seorang, makcikku dan pakcikku yang kurang sihat masing-masing seorang) terperangkap dalam banjir kilat.
Pada pukul lebih kurang 8.00 malam, air sudah sampai ke paras tingkap rumah dengan arus air yang sangat deras. Bagi menyelamatkan diri, mereka yang terperangkap segera mencari tempat tinggi di dalam rumah tersebut. Dengan perasaan panik dan sangat cemas, mereka semua berpaut atas pagar beranda rumah dalam keadaan kegelapan disebabkan bekalan elektrik terputus. Memang amat sukar digambarkan keadaan pada masa itu kecuali mereka yang mengalaminya. Ya Allah, sesungguhnya hamba mu berasa insaf sekiranya berada dalam keadaan waktu itu.


Semasa aku masih bercakap dalam telefon dengan adikku, terlintas difikiranku untuk meminta mereka cuba menebuk siling dan atap zink seterusnya naik ke atas bumbung rumah. Dengan serta merta adikku beritahu bapaku untuk berbuat demikian sebelum paras air semakin naik dan menenggelamkan mereka. Detik-detik yang amat mencemaskan! Sambil masih bercakap dengan adikku, aku terdengar suara ibuku yang seolah-olah sudah kehabisan suara meminta tolong orang disekeliling. Tapi apakan daya orang disekeliling pun dalam keadaan yang serupa dan panic masing-masing cuba menyelamatkan diri dan anak-beranak mereka. Sehingga kini, aku berasa amat sedih apabila teringat suara ibuku meminta tolong dalam keadaan cemas dan menakutkan itu dan masih terngiang-ngiang ditelinga ini. Siapa yang tidak sedih dan ngeri apabila menyedari ibu atau ahli keluarga diambang bahaya yang mengancam nyawa. Ya Alhamdulillah, Allah swt masih sayang mereka semua dengan memanjangkan umur mereka.
Dalam keadaan gelap dan sangat cemas, bapaku masih berusaha cuba memecahkan siling rumah dengan menggunakan kudrat tangan dan kaki sedaya upayanya. Akhirnya bapaku berjaya menebuk siling dan seterusnya menebuk atap zink. Jika dilihat, memang agak sukar untuk memecah siling dan menebuk zink tanpa peralatan. Namun dalam keadaan cemas, bapaku terpaksa juga berusaha walaupun tangan dan kaki menjadi luka. Masih dalam perbualan telefon adikku, aku dapat mendengar bapaku menendang atap zink untuk menebuknya. Ya Allah hanya Dia yang tahu betapa cemas dan sukarnya waktu itu.


Setelah itu, seorang demi seorang cuba sedaya upaya memanjat dinding dan tingkap luar beranda rumah untuk terus naik ke atas bumbung. Apa yang berlaku waktu, ia tidaklah semudah apa yang difikirkan. Dalam keadaan cemas dan gelap begitu, besi tajam, arus deras, keadaan gelap, sejuk, hujan, serpihan kaca tingkap yang pecah dan tajam sudah tidak dihirau walaupun terpaksa menahan sakit yang amat sangat terutamanya bapaku yang sudah berumur 60 tahun. Alhamdulillah, dengan usia begitu Dia masih memberikan kudrat yang bukan semua orang boleh lakukan. Sekali lagi bapaku sedaya upaya menaikkan seorang demi seorang panjat naik ke atas bumbung sehinggalah semuanya berjaya menyelamatkan diri dengan naik ke atas siling dan bumbung rumah. Yang paling sedih dan sukar ialah menaikkan pakcikku yang kurang sihat (semacam sakit stroke), tidak dapat memanjat kerana tiada kekuatan otot dan badan yang lemah. Dalam keadaan cemas dan kepenatan bapaku cuba juga menolak dan menarik pakcikku naik ke atas. Sebelum Berjaya naik ke atas, beberapa kali pakcikku ini terjatuh ke dalam air dan telah lemas seketika dalam keadaan yang gelap. Disangka, pakcikku sudah ‘tiada’ kerana sudah tidak kelihatan tubuhnya mungkin tenggelam ke dasar rumah. Dalam keadaan cemas dan gelap mujurlah handphone yang ada mempunyai ‘torchlight’ dan cuba mencari pakcikku yang sedang lemas. Mujurlah tangannya yang terkapai lemas dilihat dan serta merta bapaku menangkap tangannya terus tarik ke permukaan air. Dengan tenaga yang sudah tiada dan kepenatan, bapaku sedaya upaya menarik pakcikku bertahan di kawasan yang agak tinggi – frame tingkap buat seketika sementara menunggu air surut. Begitu juga adikku yang masih bersekolah menengah, cuba sedaya upaya membantu bapaku menolak dan menaikkan ibuku ke atas siling dan bumbung.


Aku yang masih tidak tentu arah, cuba menghubungi sesiapa sahaja yang difikirkan boleh membantu. Antara yang dihubungi kakakku yang berada di rumahnya Muhibbah Tawau, birasku(polis PGA) yang berada rumahnya di Batu 4 Apas. Dalam keadaan tidak menentu, aku berdoa dan bertawakkal kepada Allah dengan harapan air banjir tidak bertambah naik dan surut segera. Begitu juga adik-adikku yang berada jauh dari kampung, di semenanjung, Kinabatangan dan Kota Kinabalu semua berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar keluarga kami dan mereka yang sedang timpa bala Allah terselamat.


Dalam keadaan buntu, birasku menelefonku memberitahu mereka (dia dan isteri-kakak iparku) sedang berada di jambatan Sin San yang sedang ditenggelami banjir dan air yang sangat deras. Pihak keselamatan polis dan bomba berkejar ke sana bagi mengawal keadaan dan cuba menyelamat mangsa. Namun, pihak penyelamat tersekat oleh jalan penghubung ke kampung pasir Putih terputus, jadi tiada usaha menyelamat dan bantuan dapat dihulur waktu itu. Dilaporkan, jalan menjadi sesak di Jalan Sin San yang kebanyakannya ahli keluarga yang ingin datang cuba menolong keluarga yang dilanda banjir tetapi malangnya tersekat oleh banjir besar.


Dalam keadaan berdoa didalam hati, lebih kurang pukul 12 tengah malam tiba-tiba adikku di semenanjung hantar SMS memberitahu air sudah tenang dan surut sedikit begitu juga seperti apa yang birasku beritahu. Walaupun hatiku masih berasa sedih sehingga tidak sedar mengalir air mataku dengan dugaan besar yang menimpa ibubapaku dan saudaraku yang lain yang masih berada di atas bumbung dalam keadaan kesejukan dan hujan, namun aku bersyukur kepada Allah swt kerana mengkabulkan doa-doa hambaNya yang dalam kesusahan dan diambang maut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillahi Rabbil Alamin.
Air semakin surut sehinggalah lebih kurang pukul 4 pagi, mereka yang terperangkap dapat keluar dari rumah dan dibawa pergi ke rumah kakakku di Muhibbah. Aku dengan jelas dapat membayangkan betapa penat dan sedihnya mereka setelah menerima ujian yang sebegitu besar, hanya Dia yang Maha Mengetahui.


Apa yang sudah berlaku, musibah yang melanda kampung ini harus diambil pengajaran daripadanya. Kerana setiap apa yang Allah turunkan kepada manusia di muka bumi adalah untuk member peringatan kepada hambaNya agar mereka menginsafi dengan dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan juga hendak menaikkan darjat hambaNya apabila mereka tabah dan redha dengan ujian Ilahi. Sesungguhnya semua ini tidaklah berlaku melainkan ada hikmah disebaliknya.


Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.