Jumaat, 13 Februari 2015

Selamat Jalan Tuan Guru

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang



"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.  Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku.  Dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
Surah Al-Fajr, Ayat 27 hingga 30.




Jam 9.45 malam Jumaat, tanggal 24 Rabiul Akhir 1436H bersamaan 12 February 2015. 


Sedih, pilu dan sayunya sepanjang hari ini apabila seluruh umat Islam yang mencintai ulama’ mursyid dikejutkan dengan khabar dukacita diatas pemergian seorang tokoh dan ulama’ tersohor iaitu Allahyarham Nik Abdul Aziz bin Nik Mat ke rahmatullah. Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafasnya yang terakhir dirumahnya yang berada di Pulau Melaka, Kelantan Darul Naim.


Pemergiannya amat tidak diduga selepas mengetahui kesihatan Allahyarham semakin pulih setelah bertarung menghadapi penyakit yang dihidapinya. Namun, ketentuan dan kehendak Ilahi tiada siapa yang dapat menghalangnya sebaliknya sebagai hambaNya yang beriman harus redha dan banyak bersabar dalam menempuh perjalanan hidup di atas dunia yang fana ini.


Ya Allah…sebaknya, sayunya, syahdunya hati dan perasaan ini yang asyik terkenangkan Allahyarham semasa hayatnya walaupun tidak pernah berpeluang bersalam dan mencium tangan dan dahinya yang mulia. Cuma hanya sekali itulah hamba ini diberikan peluang bersua secara ‘live’ dalam ceramahnya di pentas PAS pada penghujung abad yang lalu. Alhamdulillah. 


Ya Rabb…hamba ini sememangnya pernah berniat untuk ingin menziarahi Allahyarham Tuan Guru dirumahnya di Pulau Melaka dalam usaha mengenali lebih dekat lagi ulama’ tersohor ini. Namun kerana kesibukan dunia dan kelekaan diri, sehingga niat dan azam ditelan dan dimamah waktu yang tiada henti, Engkau telah menepati janjiMu pada saat dan waktu yang sudah terukir dilauh mahfuz tanpa ada terlewat atau tercepat sedetik pun. Ya Allah, Engkau Yang Maha Hebat dan Maha Besar. 


Entah mengapa air mata ini begitu mudah mengalir disaat berdoa sehabis solat subuh tadi bila mana terkenangkan Allahyarham Nik Abdul Aziz bin Nik Mat iaitu seorang Ulama’ tersohor tanahair malah antara tokoh dan pemimpin Islam yang berpengaruh di dunia. Allahu Akbar. Hamba tidak terlalu mengetahui biodata Allahyarham sedalamnya, namun beberapa buku karangan Allahyarham pernah dibaca dan dalam simpanan yang amat bernilai sedikit sebanyak mengenali Allahyarham Tuan Guru selain melalui ceramah dan kuliahnya sama ada secara langsung atau rakaman.


Pada kesempatan kalam kali ini, hamba sekeluarga ingin merakamkan ucapan salam takziah khusus kepada isteri dan anak-anak serta seluruh kerabat Allahyarham. Hamba sekeluarga sesungguhnya amat menyayangi Allahyarham Tuan Guru dan akan merinduinya disepanjang hayat kami. 


Ya Rabb…kami ingin merakamkan terima kasih yang tiada terhingga buat Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang baru saja kembali ke pangkuanMu, sesungguhnya Allahyarham amat berjasa dalam membentuk pemikiran Islam yang syumul khususnya umat Islam di Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia amnya. Ya Allah, Engkau telah hantar Allahyarham ke atas dunia ini sebagai seorang ulama’ dan pewaris Anbia’ untuk bertemu dengan manusia akhir zaman untuk memberi peringatan, dan sesungguhnya Engkau jualah Ya Allah yang memberikan hidayah kepada mereka yang Engkau kehendaki dan begitu juga sebaliknya Engkau hinakan mereka yang mengingkari perintah dan laranganMu setelah peringatan demi peringatan kepada mereka melalui RasulMu dan para Da’ei Mu.


Allahyarham Tuan Guru yang dikasihi…selamat jalan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi dalam menyahut panggilan Tuhan Yang Maha Pencipta. Kami mendoakan, roh Allahyarham Tuan Guru ditempatkan bersama golongan roh orang yang beriman dan solehin. Amin Ya Rabbal Alamin.

Al-Fatihah..


Ya Allah…sebaknya ...Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rojiun.


Allahu Akbar.

Admin.
Abd Rajab Mariali
Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.