Program Sejuta Impian terbitan salah satu pusat penyiaran televisyen swasta tanah air amat menarik dan memang di akui dapat memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia dan si pencetus ideanya.
Sungguhpun begitu, tidak dapat juga dinafikan perkara yang baik itu tidak semuanya sempurna. Baru-baru ini dalam program tersebut, salah seorang pemohon atau bolehlah dikatakan aktivis masyarakat telah diberikan peluang oleh program tersebut untuk menyatakan hasrat atau impian beliau dalam memohon dana. Kali ini ia berkaitan dengan "kanak-kanak jalanan" yang terdapat di Tawau dan Semporna dengan keadaan sangat dhaif disamping terpaksa keluar mencari rezeki yang dikatakan disuruh oleh ibu-bapa mereka.
Apa yang dinyatakan memang benar, tetapi beliau juga menyatakan telah melakukan "research" atau penyelidikan terhadap perkara tersebut atas tujuan untuk mendapatkan dana bagi membantu kanak-kanak tersebut. Persoalannya disini, apakah benar beliau telah melakukan penyelidikan sepenuhnya khususnya di Tawau (kawasan bandar seperti yang terpapar dalam rakaman video beliau)? Sebagai warga bandar dan daerah ini, beliau harus merujuk kepada pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Tawau bagi mendapat penjelasan lanjut dan tepat berhubung kanak-kanak yang dikatakan kanak-kanak jalanan. Sebaliknya beliau tidak harus hanya merujuk kepada pihak-pihak yang tidak tahu-menahu atau "tersalah orang" bagi membuat penyelidikan kerana ia dikhuatiri memperolehi maklumat yang kurang tepat.
Seperti apa yang dipaparkan dalam program tv tersebut, kita ingin bertanya apakah kanak-kanak yang dimaksudkan itu warga tempatan atau bukan? Ini kerana, untuk pengetahuan beliau bandar ini juga terdapat warga asing yang datang tanpa pekerjaan dan hanya mampu meminta sedekah dan simpati. Dan yang agak bertenaga seperti kanak-kanak akan "bekerja" dengan menyediakan perkhidmatan seperti mengangkat barang dan sebagainya, dan yang lain-lain menjual barang seperti sayuran dan ikan di kaki lima pasar. Kebanyakan atau hampir semua mereka ini bukan warga tempatan. Sebenarnya kita juga berasa simpati dengan golongan ini tetapi perkara yang pertama harus dilakukan adalah mengenal pasti identiti mereka. Sekiranya mereka ini warga tempatan maka seharusnya dibantu dan jika sebaliknya pihak berwajib harus mengambil tindakan sewajarnya.
Sebagai warga Sabah, pihak lain harus memberikan maklumat dan gambaran yang benar dan tepat tentang Sabah jika tidak orang ramai akan menyangka keburukan dan merosakkan imej negeri ini. Seperti apa yang beliau katakan tentang Sabah ia memberikan gambaran buruk seolah-olah masyarakat tempatan Sabah khususnya di Tawau tidak mendapat pembelaan, melarat dan dinafikan hak-hak sebagai golongan bawah umur yang sepatutnya mereka ini berada di sekolah.
Apapun penghargaan harus diberikan kepada pemohon dana juga program Sejuta Impian diatas keprihatinan, namun kita juga merasakan sekiranya dana itu tidak disalurkan ke sasaran yang betul maka tiadalah manfaat kepada masyarakat Malaysia yang memerlukan dan ia hanya membazirkan wang rakyat. Kita juga menyarankan agar program tersebut lebih meneliti setiap permohonan dana seperti diatas.