Rabu, 15 September 2010

Pengiktirafan suku Bugis di Sabah

UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH PADA MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERSATUAN KEBAJIKAN BUGIS SABAH DI DEWAN MASYARAKAT TAWAU PADA 24 JUN 2007

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana berkat hidayah dan izinNya, kita dapat bersama-sama dalam majlis ini sempena Mesyuarat Agung Persatuan Kebudayaan Bugis Sabah, pada hari ini.

Saya sedar, masyarakat Bugis adalah salah satu rumpun Melayu yang memiliki nilai-nilai kebudayaan dan peradaban tersendiri, yang telah wujud dan terjalin sekian lama. Di Sabah masyarakat ini telah wujud sejak lebih seabad yang lampau, dan telah memberi sumbangan yang amat besar dalam pembangunan negeri Sabah.

Salah satu kekuatan negeri dan Negara kita, ialah kepelbagaian kita. Ini merupakan satu khazanah dan aset terpenting negeri Sabah. Justeru itu, saya menyeru seluruh masyarakat, khususnya komuniti Bugis yang terkenal berpegang teguh kepad adat istiadat mereka, supaya senantiasa memelihara semangat kepelbagaian ini, dengan hikmah dan bijaksana.

Setiap suku kaum mempunyai nilai-nilai tradisi dan budaya yang tersendiri. Oleh itu, penampilan nilai-nilai tradisi dan budaya satu-satu suku kaum, haruslah dipupuk dan dibina dengan berteraskan kepada lunas-lunas yang telah digariskan dalam dasar kebudayaan kebangsaan kita yang berlandaskan kepada semangat kekeluargaan sebagai satu rumpun.

Suku bangsa Bugis, adalah salah satu suku kaum yang telah bermastatiun di negeri Sabah sejak seabad yang lampau dan sesungguhnya, telah memberi sumbangan yang amat besar dalam pembangunan negeri Sabah, khususnya dalam sektor perladangan dan pembalakan. Kini, mereka mengalih kepada sektor perniagaan dan perusahaan, pengangkutan dan pelbagai sektor lain yang berdaya maju.

Saya yakin, dengan meningkatnya bilangan mereka yang terpelajar dan professional, masyarakat Bugis haruslah lebih bersungguh-sungguh menyesuaikan diri dan menjadi penyumbang dalam pembangunan di negeri Sabah. Usaha kearah penerapan nilai-nilai murni mestilah diperjuangkan, berteraskan kepada semangat toleransi yang tinggi. Inilah kunci utama dalam memastikan keharmonian kaum terus wujud dan berkekalan.

Perpaduan dan semangat toleransi ini merupakan satu kekuatan. Justeru itu, kita perlu mempertahankan kekuatan ini, agar kita dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Tidak ada satu suku kaum yang harus berdiri sendiri. Oleh kerana itu, saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk menyatakan bahawa negeri Sabah pada masa ini berada pada landasan yang kukuh. Pembangunan ekonomi kita pada semua sektor dan bidang sedang berjalan amat rancak. Sementara sektor pelancongan dan perladangan, semakin hari semakin meningkat. Bidang pelaburan turut berkembang melalui sektor hartanah dan pembuatan. Pendek kata, Sabah sedang berada diambang kegemilangan.

Selain dasar untuk memastikan setiap suku dapat menikmati kehidupan yang baik, kerajaan juga akan terus memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan, dan hasrat ini harus dilakukan menerusi pembinaan modal insan. Oleh itu, kerajaan akan terus memperhebatkan program pembangunan modal insan, kerana inilah kunci kemajuan di masa hadapan. Saya menyeru kepada seluruh rakyat, supaya bercita-cita besar untuk mencapai kejayaan yang besar.

Untuk mencapai hakikat ini, kita harus mengadakan anjakan paradigma. Kita semestinya, menjadi masyarakat yang dinamik dan progresif. Kita harus memandang ke hadapan dengan lebih jauh. Dan ini tentunya, menuntut kepimpinan yang dinamik dan progresif. Oleh itu, saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin persatuan suku kaum di negeri ini, supaya memelihara semangat toleransi. Masyarakat Bugis, yang menjadi salah satu teras rumpun Melayu, mesti berusaha lebih gigih menyesuaikan diri dan terus berinteraksi dengan sukukaum lain, agar kehamonian dan perpaduan dapat dipelihara dan dikekalkan.

Saya difahamkan bahawa sempena mesyuarat agung ini, satu seminar mengenai komuniti Bugis juga turut diadakan. Ini penting, untuk memperkenalkan nilai-nilai budaya dan tradisi sebenar masyarakat Bugis. Saya yakin seminar ini dapat meningkatkan lagi imej masyarakat Bugis dan secara tidak langsung, akan memberi gambaran yang lebih positif kepada masyarakat tentang kewujudan kominiti Bugis di negeri ini.

Apa yang penting, masyarakat Bugis mesti senantisa berjuang untuk memberi sumbangan demi kebaikan bersama. Dengan menampilkan nilai-nilai kebaikan dan positif. Saya percaya, kalangan terpelajar dan intelektual Bugis pada hari ini, akan mampu membawa perubahan yang besar bagi Persatuan dan ahli-ahlinya.

Akhir kata, saya berpesan kepada semua persatuan suku kaum, khususnya PKBS, supaya tidak terpesong dari landasan perjuangan yang sebenarnya. Apa yang penting ialah keikhlasan untuk meneruskan perjuangan, dan perlu sedar bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, kita perlu saling memahami, saling menghargai dan saling menghormati antara satu sama lain. Sesungguhanya, dengan semangat kekitaan dan perpaduan yang jitu, kita sebagai rakyat Malaysia di Sabah, akan terus maju, aman, makmur dan progresif. Insya Allah.

Dengan lafaz bismillahir-rahmanir-rahim, saya merasmikan Mesyuarat Agung Ke-8 Persatuan Kebajikan Bugis Sabah ini.
Sekian dan terima kasih.

Selasa, 14 September 2010

Harapan baru..?

Kini kehangatan dalam pemilihan dan perebutan jawatan Parti Keadilan Rakyat PKR salah satu sekutu Pakatan Rakyat menjadi bualan khususnya ahli dan penyokong parti. Sekaligus memberi khabar gembira di pihak seteru politiknya. Mungkin juga ini suatu strategi yang cuba dimainkan oleh pemimpin PKR bagi membingungkan pakar dan penganalisis politik daripada dapat dihidu permainan politiknya termasuklah seteru politiknya. Bagi ahli dan penyokong parti, diharapkan ia suatu yang memberikan manfaat dan strategi yang menguntungkan PR.

Rabu, 8 September 2010

Banjir berlalu...kebakaran pula menjelma

Kg Pasir Putih Tawau dimana tempat aku dibesarkan sejak tahun 1984 ditimpa musibah yang tidak putus-putus sejak banjir besar melanda pada 29 Julai 2010. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, kebakaran pula berlaku pada 7 September 2010 pukul 11 pagi yang mengakibatkan 15 buah rumah musnah habis dijilat api dalam mangsa bersiap-siap melakukan persiapan untuk menyambut aidil fitri. Kebakaran yang berlaku dihujung bulan Ramadhan ini cukup menguji kesabaran bagi penduduk kampung yang baru sahaja mengalami trauma banjir kilat.

Alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran kepada Ilahi, sebab rumah orang tua ku terselamat dari kebakaran tersebut. Kalau bukan penduduk kampung membantu menyimbah air ke dinding rumah sudah pasti rumah orang tua ku juga dijilat api. Kebakaran betul-betul disebelah rumah terhenti, tapi rumah jiran disebelah habis terbakar bersama beberapa rumah yang tidak dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat dengan bahang api yang amat panas.

Tiada apa yang dapat dikatakan melainkan hanya tabah dan redha dengan ketentuan Ilahi ini. Apapun, semua ini bala dan ujian dari-Nya untuk memberi peringatan kepada hamba-hamba-Nya yang lalai. Sama-samalah kita beristighfar kepada-Nya...

Isnin, 6 September 2010

Syabas YB...

Inilah yang harus diteladani oleh semua YB di negara ini tak kira apa parti sekalipun, khasnya di negeri di bawah bayu ini. YB Teo Chie Ning telah mengorbankan masa, tenaga dan wang semata-mata untuk berkongsi maklumat dan menyeru orang-orang di Tawau menilai isu semasa dan senario politik Malaysia yang ada pada hari ini. Beliau ialah seorang YB Serdang di Selangor daripada parti DAP.


Sebagai warga Tawau saya amat berterima kasih kerana sudi datang dan menyampaikan ceramah bagi membuka minda orang-orang Tawau tentang politik negara. Di atas adalah petikan video ceramah beliau di Kg Merotai baru-baru ini.

Ahad, 5 September 2010

Jalan di Batu 4

Beginilah apabila mau hari raya baru ada inisiatif baiki jalan. Alangkah bagusnya kalau terus diturap. Biasanya ndak sampai satu minggu jalan sudah berlubang sana-sini...


Apa boleh buat beginilah nasib orang batu empat apas. 


Selasa, 31 Ogos 2010

Banjir: Tindakan susulan

Hari ini berencana hendak bertemu dengan wakil penduduk Kg Pasir Putih Tawau berkenaan dengan tindakan masalah banjir kilat yang melanda Kg Pasir Putih Tawau baru-baru ini. Ini adalah tindakan susulan selepas mengumpul nama dan tandatangan penduduk kampung bagi menyokong bantahan pembinaan sungai atau lencongan air dari Sungai Tawau yang tidak terancang dan mengancam nyawa penduduk.

Semoga usaha yang kecil ini dapat diberkati dan diberi kekuatan oleh-Nya.

Isnin, 30 Ogos 2010

Jutaan terima kasih buat Pasti Tawau

Sebagai mewakili penduduk Kg Pasir Putih Tawau yang dilanda banjir ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas keperihatinan dan pemberian sumbangan barangan makan asas oleh pihak PASTI Tawau baru-baru ini. Penduduk kampung amat menghargai perihatin dan sumbangan yang tuan-puan berikan. Semoga Allah SWT dapat mengganjari pahala tuan-puan di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Pasti Memimpin Perubahan! Di Bumi Allah Ini! Agar Bumi Gemilang!

Amin Ya Allah.

Takbir...Allahu Akbar!

Ahad, 29 Ogos 2010

Kg Pasir Putih Tawau dilanda banjir lagi...

Kg Pasir Putih dilanda banjir lagi...kejadian banjir sudah tiga kali berlaku dalam masa sebulan sejak banjir besar pada 29 Julai 2010 yang menenggelamkan hampir 80 peratus rumah dan ada juga yang musnah di tolak arus deras yang berlumpur. Sesungguhnya waktu itu tiada siapa menduga banjir yang besar dan air naik sangat cepat sehingga ramai yang terperangkap, hanya dapat naik ke atas bumbung rumah menunggu bantuan penyelamat.


Ini adalah sungai lencongan yang berada di Jalan Sin San. Kelihatan dalam gambar adalah jambatan dengan tebing semakin terhakis dengan arus air yang sangat deras. Gambar ini diambil dalam pukul 6.20 pagi hari sabtu 28 Ogos 2010 dalam keadaan hujan gerimis.

 

Gambar di atas adalah jambatan kecil yang berada di Jalan Sin San yang ditenggelami air banjir dan disaksikan oleh polis yang membuat rondaan. Kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi sabtu 28 Ogos 2010. Banyak kenderaan tersangkut dari kedua-dua belah bahagian dari dan yang hendak ke Kg Pasir Putih disebabkan jalan terputus hunbungan. Jalan hanya dapat dilalui selepas 4 jam apabila air semakin surut dan hujan berhenti. 


Gambar di atas kawasan perkampungan Blok A jalan yang sedang dinaiki banjir yang agak cepat. Kelihatan penduduk kampung terutamanya yang tinggal di bahagian belakang terdedah dengan bahaya banjir meninggalkan rumah mereka ke tempat yang tinggi dan selamat.



Lot 127 - Blok A, rumah bapakku yang sedang dinaiki banjir untuk kali yang ke-3 dalam masa sebulan. Tapi kali ini air banjir tidak sampai ke lantai rumah, tidak seperti banjir kilat sebelum ini pada 29 Julai 2010 paras air hampir menenggelamkan tingkap rumah.


Gambar atas: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI Nurul Huda) Kg Pasir Putih ditenggelami banjir.
 

Walaupun dalam keadaan dilanda banjir yang sedemikian, semangat kemerdekaan tetap berkobar-kobar dengan menaikkan bendera Malaysia dan demi menyahut gagasan PM 1Malaysia Menjana Transformasi...tapi adakah itu semuanya benar? Dimana YB Adun atau MP pada waktu ini?


Sampah sarap yang bertan-tan banyaknya hanyut dibawa banjir sekaligus menyekat pengaliran air ke laut.


Gambar atas: Tabika Kemas Kg Pasir Putih yang hampir ditenggelami banjir.


Salah sebuah rumah yang berhampiran sungai roboh dan tenggelam dilanda arus deras dan tebing sungai yang runtuh. Rumah atau pondok ni berada di belakang kedai makcik Jannah di Blok B.

                                     

Sesungguhnya apa yang berlaku adalah kehendak dan perintah-Nya, bagi mereka yang ditimpa musibah banjir ini seharusnya bersikap tabah dan redha diatas qada' dan qadar ini. Tiadalah Dia menurunkan semua ini melainkan mahu memberi peringatan kepada hamba-Nya yang lalai dan itu semua adalah tanda yang Dia mengasihani hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama ujian ini diturunkan dalam umat Islam hendak melaksanakan ibadah fardhu puasa dan berlaku lagi ditengah bulan puasa sesungguhnya amat teruji bagi mereka yang taat perintah-Nya. Apapun, tidaklah jua semua ini ditimpakan melainkan Allah swt menyediakan hikmah disebaliknya yang tiada siapa pun tahu melainkan Dia Yang Maha Mengetahui dan Maha Perkasa.

Astaghfirullah...astaghfirullah...astaghfirullah al-adzim Ya Allah.


Selasa, 24 Ogos 2010

PRU13 - Politik Sabah

Senario politik negeri Sabah dijangka akan berubah dalam menuju ke PRU13 dalam satu dua tahun lagi. Bahangnya sememangnya semakin dirasai dengan tindakan aggresif oleh parti pembangkang dalam memastikan Sabah jatuh ke tangan mereka. Mungkin ini sesuatu yang harus dilakukan oleh orang Sabah memandangkan pembangunan negeri yang dilihat tidak seimbang.


Namun begitu, pihak pembangkang akan melalui laluan sukar dan getir dalam merampas tampuk pemerintahan negeri daripada kerajaan yang kini memerintah. Harapan yang ada hanya dengan menyedarkan rakyat dan mengubah mentaliti anak muda Sabah terutamanya golongan professional. Kenapa golongan professional? Berdasarkan perkembangan terkini, golongan ini selain dapat meningkatkan majoriti ahli atau pengundi, mereka juga berkemampuan dalam membantu parti dalam menyebarkan mentaliti orang muda secara aktif jika dibandingkan dengan golongan yang agak berumur.

Laluan juga agak sukar dengan provokasi-provokasi yang akan dihadapi oleh parti pembangkang. Disebabkan populariti parti pembangkang agak menonjol dan agak aktif sekarang ini, pihak kerajaan akan cuba menghalang usaha pembangkang dalam terus menawan hati dan memberi sessi penerangan di seluruh negeri.

Bagi golongan belia yang belum lagi mendaftar dengan SPR sebagai pengundi berdaftar, maka silalah berbuat demikian bagi menunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan berperlembagaan. Selepas itu wahai anak muda, buat pilihan yang tepat dan bertanggungjawab untuk tanahair dan bangsamu.

Janakuasa elektrik gas asli...bilalah agaknya?

Mungkin beginilah agaknya loji janakuasa elektrik gas asli jika kerajaan nak tolong orang-orang di pantai timur Sabah yang dahagakan keperluan dan bekalan asas yang sempurna...



Gambar hiasan: Loji janakuasa elektrik.

Kalaulah kerajaan ni betul-betul ikhlas kepada rakyat Sabah, kenapa mereka tidak membina janakuasa besar bersumber tenaga gas asli yang boleh didapati di negeri ini? Lihatlah berapa besar jurang pembangunan diantara Sabah dan Semenanjung atau negeri lain. Tiada negeri lain yang sering tercorot dalam kategori negeri termiskin melainkan Sabah. Buat rakyat Sabah, fikir dan bertindaklah selagi termampu demi masa depan generasimu...

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.