UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH PADA MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERSATUAN KEBAJIKAN BUGIS SABAH DI DEWAN MASYARAKAT TAWAU PADA 24 JUN 2007
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana berkat hidayah dan izinNya, kita dapat bersama-sama dalam majlis ini sempena Mesyuarat Agung Persatuan Kebudayaan Bugis Sabah, pada hari ini.
Saya sedar, masyarakat Bugis adalah salah satu rumpun Melayu yang memiliki nilai-nilai kebudayaan dan peradaban tersendiri, yang telah wujud dan terjalin sekian lama. Di Sabah masyarakat ini telah wujud sejak lebih seabad yang lampau, dan telah memberi sumbangan yang amat besar dalam pembangunan negeri Sabah.
Salah satu kekuatan negeri dan Negara kita, ialah kepelbagaian kita. Ini merupakan satu khazanah dan aset terpenting negeri Sabah. Justeru itu, saya menyeru seluruh masyarakat, khususnya komuniti Bugis yang terkenal berpegang teguh kepad adat istiadat mereka, supaya senantiasa memelihara semangat kepelbagaian ini, dengan hikmah dan bijaksana.
Setiap suku kaum mempunyai nilai-nilai tradisi dan budaya yang tersendiri. Oleh itu, penampilan nilai-nilai tradisi dan budaya satu-satu suku kaum, haruslah dipupuk dan dibina dengan berteraskan kepada lunas-lunas yang telah digariskan dalam dasar kebudayaan kebangsaan kita yang berlandaskan kepada semangat kekeluargaan sebagai satu rumpun.
Suku bangsa Bugis, adalah salah satu suku kaum yang telah bermastatiun di negeri Sabah sejak seabad yang lampau dan sesungguhnya, telah memberi sumbangan yang amat besar dalam pembangunan negeri Sabah, khususnya dalam sektor perladangan dan pembalakan. Kini, mereka mengalih kepada sektor perniagaan dan perusahaan, pengangkutan dan pelbagai sektor lain yang berdaya maju.
Saya yakin, dengan meningkatnya bilangan mereka yang terpelajar dan professional, masyarakat Bugis haruslah lebih bersungguh-sungguh menyesuaikan diri dan menjadi penyumbang dalam pembangunan di negeri Sabah. Usaha kearah penerapan nilai-nilai murni mestilah diperjuangkan, berteraskan kepada semangat toleransi yang tinggi. Inilah kunci utama dalam memastikan keharmonian kaum terus wujud dan berkekalan.
Perpaduan dan semangat toleransi ini merupakan satu kekuatan. Justeru itu, kita perlu mempertahankan kekuatan ini, agar kita dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Tidak ada satu suku kaum yang harus berdiri sendiri. Oleh kerana itu, saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk menyatakan bahawa negeri Sabah pada masa ini berada pada landasan yang kukuh. Pembangunan ekonomi kita pada semua sektor dan bidang sedang berjalan amat rancak. Sementara sektor pelancongan dan perladangan, semakin hari semakin meningkat. Bidang pelaburan turut berkembang melalui sektor hartanah dan pembuatan. Pendek kata, Sabah sedang berada diambang kegemilangan.
Selain dasar untuk memastikan setiap suku dapat menikmati kehidupan yang baik, kerajaan juga akan terus memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan, dan hasrat ini harus dilakukan menerusi pembinaan modal insan. Oleh itu, kerajaan akan terus memperhebatkan program pembangunan modal insan, kerana inilah kunci kemajuan di masa hadapan. Saya menyeru kepada seluruh rakyat, supaya bercita-cita besar untuk mencapai kejayaan yang besar.
Untuk mencapai hakikat ini, kita harus mengadakan anjakan paradigma. Kita semestinya, menjadi masyarakat yang dinamik dan progresif. Kita harus memandang ke hadapan dengan lebih jauh. Dan ini tentunya, menuntut kepimpinan yang dinamik dan progresif. Oleh itu, saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin persatuan suku kaum di negeri ini, supaya memelihara semangat toleransi. Masyarakat Bugis, yang menjadi salah satu teras rumpun Melayu, mesti berusaha lebih gigih menyesuaikan diri dan terus berinteraksi dengan sukukaum lain, agar kehamonian dan perpaduan dapat dipelihara dan dikekalkan.
Saya difahamkan bahawa sempena mesyuarat agung ini, satu seminar mengenai komuniti Bugis juga turut diadakan. Ini penting, untuk memperkenalkan nilai-nilai budaya dan tradisi sebenar masyarakat Bugis. Saya yakin seminar ini dapat meningkatkan lagi imej masyarakat Bugis dan secara tidak langsung, akan memberi gambaran yang lebih positif kepada masyarakat tentang kewujudan kominiti Bugis di negeri ini.
Apa yang penting, masyarakat Bugis mesti senantisa berjuang untuk memberi sumbangan demi kebaikan bersama. Dengan menampilkan nilai-nilai kebaikan dan positif. Saya percaya, kalangan terpelajar dan intelektual Bugis pada hari ini, akan mampu membawa perubahan yang besar bagi Persatuan dan ahli-ahlinya.
Akhir kata, saya berpesan kepada semua persatuan suku kaum, khususnya PKBS, supaya tidak terpesong dari landasan perjuangan yang sebenarnya. Apa yang penting ialah keikhlasan untuk meneruskan perjuangan, dan perlu sedar bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, kita perlu saling memahami, saling menghargai dan saling menghormati antara satu sama lain. Sesungguhanya, dengan semangat kekitaan dan perpaduan yang jitu, kita sebagai rakyat Malaysia di Sabah, akan terus maju, aman, makmur dan progresif. Insya Allah.
Dengan lafaz bismillahir-rahmanir-rahim, saya merasmikan Mesyuarat Agung Ke-8 Persatuan Kebajikan Bugis Sabah ini.
Sekian dan terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan