Sabtu, 16 Oktober 2010

"Ketua Kampung YB"..

Agak tertarik dengan isu perlantikan Ketua Kampung dan tanggungjawabnya seperti yang disiarkan dalam Sabahkini.net baru-baru ini yang dibangkitkan oleh seorang AJK Umno di salah satu bahagian di Sabah. Apa yang dipersoalkan adalah bagaimana proses pemilihan dan perlantikan Ketua Kampung itu dilakukan? Dan siapakah yang melantiknya? Isu ini sebenarnya sudah lama dan kebanyakan orang kampung sendiri tidak memahami sistem perlantikan dan yang sedihnya ada dikalangan orang kampung sendiri tidak tahu siapakah ketua kampung mereka. Amat malang.

Ada benarnya, seperti apa yang dinyatakan bahawa perlantikan Ketua Kampung di negeri ini dilakukan oleh pemimpin politk kawasan dan daerah dan bukan berdasarkan kepada sokongan majoriti penduduk setempat atau kampung. Dan ada laporan yang menyatakan ketua kampung hasil dari perlantikan sebegini tidak berkaliber dan malah tidak bertanggungjawab terhadap orang kampungnya sendiri. Lebih malang dan sedih lagi, ada ketua kampung yang tidak memahami tanggungjawab sendiri malah tidak kenali orang kampung kerana tidak pernah menjenguk dan berkomunikasi (face to face) dengan orang kampung sendiri. Inilah yang menjadi masalah apabila pemimpin mencabuli sistem demokrasi yang ada dan menafikan keadilan dan hak-hak rakyat.

Parah semakin teruk lagi apabila berlaku sesuatu masalah bencana atau yang seumpamanya, ketua kampung sebegini tidak sensitif dan lebih cenderung menambahkan masalah orang kampungya. Seharusnya sebagai ketua kampung yang berkaliber dan bertanggungjawab segala perancangan dan persiapan sudah dirancang sebaiknya bagi menghadapi musibah yang tidak diduga, bukan apabila berlaku baru terpinga-pinga dan tidak tahu hendak bertindak secara efektif. Dan ini semuanya sudah pun berlaku dan memang akan berlaku lagi jika sistem keadilan tidak dilakukan sebaiknya.

Apapun sebagai penduduk setempat atau kampung, sama-samalah membuka minda dan hati masing-masing dalam menuntut sistem demokrasi dan hak-hak keadilan. Janganlah hanya berpeluk tubuh dan hanya menganggap setiap sesuatu sudah menjadi takdir semata-mata tanpa berusaha terlebih dahulu dan tindakan sewajarnya. Buanglah pemikiran zaman 30-50 tahun dahulu yang banyak mencengkam jiwa rakyat, sebaliknya bangkitlah dalam menentukan hala tuju di masa hadapan demi agama, bangsa dan negara.




Tiada ulasan:

Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.