"Setiap Sen Peruntukan Digunakan Untuk Projek Rakyat - Shafie
SEMPORNA, 6 Sept (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi jaminan bahawa setiap sen peruntukan kementeriannya akan dibelanjakan untuk projek rakyat.
Shafie berkata beliau sendiri akan turun padang untuk memantau setiap projek yang telah dikenal pasti di seluruh negara bagi memastikan ianya dilaksanakan seperti dirancang.
"Insya Allah, setiap peruntukan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk kepentingan rakyat termasuk di negeri Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah kepada 38 mangsa kebakaran di Kampung Air, Semporna pada 17 Disember lalu di bawah Projek Program Bantuan Rumah (PBR) pada hari Isnin.
Menurut Shafie sesetengah projek di bawah kementeriannya mungkin kurang diwar-warkan sehingga kurang diketahui rakyat antara projek yang kini dilaksanakan di Sabah seperti jalan di Poring, Ranau dan Menggatal, bekalan elektrik ke Telupid dan tenaga solar di Kinabatangan.
Mengulas mengenai projek PBR untuk mangsa kebakaran di Kampung Air yang turut dilawatinya, Shafie berkata ia merupakan sebahagian projek kementeriannya yang berjaya disiapkan dalam tempoh singkat.
Katanya projek yang menelan kos kira-kira RM3.8 juta berkenaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk elektrik, air serta sistem kumbahan yang tersusun agar bahan kumbahan tidak tersalur terus ke laut.
Beliau mengingatkan penerima bantuan berkenaan supaya memanfaatakn sepenuhnya rumah mereka dengan tidak menyewakan atau menjualnya kepada pihak lain.
Bernama."
Petikan di atas adalah antara ulasan berita berkaitan peruntukan kerajaan pusat untuk rakyat. Bagi penduduk Kg Pasir Putih Tawau yang telah dilanda banjir kilat yang teruk beberapa hari sebelum Ramadhan dan kebakaran 15 buah rumah dua hari sebelum hari raya Aidil Fitri, mengapa kementerian ini tidak mengambil perhatian dan menghulurkan bantuan melalui peruntukan yang sedia ada?
Mungkin menteri terbabit tidak menyedari perkara ini ataupun sibuk dengan benda lain. Kalau ia pun, perkara ini telah disiarkan oleh media elektronik dan juga diketahui oleh wakil-wakil rakyat kawasan terbabit, takkan mereka semua masih tidak mengetahuinya seterusnya memberi perhatian dan tindakan segera?
Apa beza mereka yang ditimpa musibah kebakaran di Semporna dengan di Tawau? Ini yang rakyat keseluruhannya ingin tahu. Mungkin benar juga apabila ada pihak menyatakan sesetengah wakil rakyat atau yang lebih tinggi seperti jawatan menteri lebih mementingkan orang di kawasannya dan perkara ini kita sudah dengar serta lali di negara ini. Sedangkan peruntukan itu untuk semua rakyat yang memerlukannya.
Rakyat kebanyakkannya tidak mengetahui projek Program Bantuan Rumah (PBR) yang diwar-warkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dengan adanya projek ini, mungkin rakyat marhaen ini akan berpusu-pusu menuntut hak mereka.
Apapun kita berharap pihak kementerian yang bertanggungjawab dapat menggunakan peruntukan sebaiknya dengan adil dan saksama kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan