Sabtu, 9 Julai 2016

Takdir dan Waktu..

Pertama-tama sekali pacik nak ucapkan

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin

----------------------------

Takdir dan Waktu..

Genap sembilan bulan pacik tak jenguk dan update blog usang ni (hehe). Buka-buka jak, tengok last bulan oktober tahun lepas punya bebelan. Ye la ni semua adalah takdir Ilahi yang sejajar dengan waktu. Manusia mana, hamba mana yang mampu menahan takdir maupun waktu yang setiap detik berjalan dan terus berjalan tanpa henti. Waktu itu hanya akan berhenti bila mana Sang Maha Pencipta itu menghendakkan ia berhenti.

Tak apa la pasal yang tu. Malam ni pacik rasa nak rakam sedikit sementara sisa waktu yang masih ada sebelum ia berlalu dan terus berlalu hingga ke penghujungnya.

Hari ni pun beberapa kali waktu penerbangan pacik berubah dan berubah. Seolah-olah soal waktu ini ingin memberitahu sesuatu, berkenaan takdir manusia yang telah ditentukan oleh Tuhannya. Cerita pasal travel pacik hari ni, ia sesuatu yang melelahkan dan sedikit mem'boring'kan. Sejak awal pagi lagi, penerbangan pacik dari Tawau ke Kota Kinabalu telah dibatalkan tanpa pengetahuan melalui SMS dan sebagainya seperti selalunya. Baru kali ini tiada pemberitahuan awal diberikan oleh pihak MAS maupun ejen penerbangan.

Alhamdulillah, walaupun pacik dah tertinggal penerbangan, saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak MAS dan MAB yang berdedikasi untuk mengatur semula penerbangan saya. Maka pacik pun terpaksa dialihkan ke pesawat yang terbang ke Kota Kinabalu melalui Sandakan (transit) dan seterusnya ke destinasi KK walaupun berlaku sedikit kekeliruan tempat duduk dalam pesawat...(tak payah elobret yang ni haha). Sebab tiada pilihan seharusnya pacik terima saja walaupun ia memakan masa dan melelahkan.

Mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan selamat walaupun ada sedikit 'turbulance' di ruang stratosfera bumi, alhamdulillah..

Takdir hari ni memang ramai pengguna-pengguna laluan udara sudah mula bergerak ke destinasi masing-masing, mungkin tanda aidilfitri semakin berlalu pergi yang sudah pasti tiada siapa dapat menghalangnya untuk pergi.. dan apa yang pasti adalah kita belum pasti untuk bertemunya lagi pada tahun depan.. yang pasti dan memang pasti kubur akan menjemput kita pulang ke destinasi seterusnya ke alam baqa' yang kekal abadi..

Setelah beberapa ketika transit di KKIA, pacik punya connecting flight ke Bintulu pun tanpa diduga telah ditunda dua jam dari jadual penerbangan asal. Bermakna pacik punya masa perjalanan dari Tawau untuk sampai ke destinasi Bintulu memakan masa 12 jam. Ini bersamaan perjalanan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Amsterdam (yang kini destinasi ini sudah pun ditamatkan selepas tragedi MH17).

Apapun sebenarnya ini semua perkara biasa yang boleh dikatakan setiap tahun pacik alami, dan sudah pasti ini semua takdir dalam waktu didunia ini..

Habis cerita pasal terbang, delay, lelah dan boring...hahahaa

Alhamdulillah sampai ke destinasi rutin bulanan pacik.. rumahjin (bulan puasa dah abis, dia pun dah mai balik...haha) tawakkal jak la...

Untuk hari ini, dan untuk ke sekian kalinya.. tak tau pacik nak katakan macam mana (hehe..). Tapi bagi pacik, dalam dunia yang singkat ni kita akan mengalami sesuatu yang sangat istimewa atau pengalaman hidup yang diluar apa yang kita fikir dalam menjalani kehidupan seharian sehinggalah kita tiada lagi.. dan pacik rasa pengalaman itu pacik ketemukannya pada bulan kelahiran pacik pada usia ke empat puluh. Puak kolonial kata, life begins at forty. Nabi (SAW) kata, tahap kematangan seseorang manusia ialah bila mana seseorang itu mencapai tahap usia tersebut dan ia adalah titik dan sempadan perjalanan hidup setiap manusia. Jika dia berubah, maka berubah lah seseorang itu. Perubahan dalam erti kata ke arah kebaikan atau sebaliknya..

Sesungguhnya hari ni adalah takdir pacik juga waktu pacik untuk berubah (kott..). Hint demi hint.. jangan tak diperasankan. Peringatan demi peringatan.. janganlah diendahkan.. 

Untuk itu, ada baiknya kalau kita bagi sikit ucapan ka, kata-kata hekmat ka, doa ka.. kan kan..

Pacik nak ucapkan selamat dan syukurlah kan atas nekmat yang Allah berikan kepada semua insan yang masih diberikan kebahagian, rezeki, kesehatan, dipertemukan jodoh, dipertemukan rakan taulan yang baik baik, kejayaan dalam urusan kerja, dapat makan dan minuman hari ini, masih boleh bergerak berjalan, berjiran dengan orang yang baik baik, dapat beraya bersama sanak saudara dan sebagainya, begitu juga kepada mereka yang diberikan nekmat dan hadiah yang besar iaitulah kurnian zuriat (tahniah ya).. asbab mereka ini boleh 'bawa' kita ke syurga, boleh juga sebaliknya, apapun pacik nak doakan semua yang terbaik kepada semua.. banyaknya nekmat2 Ilahi.. perkenalan tanpa melalui pertemuan itupun sesungguhnya nekmat... Subhanallah, dan pacik amat menghargainya.
 
Rasanya cukuplah bebelan pacik untuk malam ini. Nak rest kejap, sambil layan sat puisi senandung ni. Awal taun 90an pacik memang layan lagu kelasik ni yang dah berusia suku abad lebehh..

----------------------------------

Takdir dan Waktu

Tidak kutahu mengapakah
Sepinya melanda hatiku
Dan bukannya kemahuanku
Datangnya sendiri

Tidak kutahu mengapakah
Pilunya dipinggir hatiku
Dan kucuba untuk mengusir
Tapi tak berdaya

Lalu terbuka gerbang hatiku
Menyambut rindu datang bertemu
Aku gelisah

Kini rinduku menjemput cinta
Yang ditakdirkan denganmu sayang
Bukan pintaku atau mahumu
Semuanya suratanNya

Tapi mengapakah kau sekadar waktu
Cinta yang datang cepat berlalu
Pergimu sayang bersama cinta
Tercalar pedih di dalam dada
Aku tersiksa

Aku terdiam kaku menahan
Bisanya menikam kalbuku
Separuh nyawa ku pandang wajah
Di depan kaca

Tutup kembali gerbang hatiku
Tidak bermaya langkah kakiku
Di saat ini

Tidak kusangka jadi begini
Terpisah jua kita akhirnya
Aku sendiri tidak mengerti
Sungguh pilu di hatiku

Untuk melepaskanmu demi kerana
Ku masih sayang, sayang padamu
Terbangkit resah di dalam kalbu
Terhimpun rindu (sayang)
(Luka cintaku)



Assalam.
 

Isnin, 26 Oktober 2015

"Vape" Didalam Pesawat??

Assalam.


Agak lama tak update laman blog ni. Fikir nak tulis sikitlah malam ni. Isu berkaitan keselamatan di dalam pesawat. Baru je tadi terbaca berkenaan situasi cemas di dalam sebuah pesawat Malindo Air Boeing 737-800. Dilaporkan berlaku kebakaran kecil ke atas seorang penumpang akibat rokok elektronik atau lebih mesra dipanggil 'vape'. Kebakaran kecil itu dikatakan terjadi apabila bateri rokok elektronik tersebut tiba-tiba terbakar dan 



Terlebih dahulu, sebelum kita meneruskan komentar berkaitan vape ni, saya ingin memohon maaflah kepada semua pengguna rokok elektronik ni, tak kiralah saudara mara, rakan taulan dan sesiapa jualah. Okey. Bukan niat nak mengajar atau menegur membabi buta atau nak memperlekeh mereka yang mengamalkan budaya vape ini. Tiada niat sama sekali. Jadi, mohon maaflah semua.



Rokok biasa ataupun rokok elektronik (vape) ini, memang semua sudah sedia maklum terdapat kontra yang sangat ketara. Kita pun tak tahu jika ia ada pro atau kebaikan di dalamnya. Saya pun memang tak pernah merasai nikmat merokok, walaupun pernah zaman persekolahan dulu cuba-cuba untuk mengambil dan merasa kenikmatan asap rokok yang disedut dan dihembus kembali. Bukan rezeki saya untuk meneruskan cita-cita sebagai perokok, disebabkan pergaulan saya yang terbatas dengan kawan. Juga disebabkan tiada kemampuan untuk membeli walaupun sebatang rokok pada masa itu. Dan kini saya rasa amat bersyukur di atas jalan takdir saya.



Okeh, kembali kepada kisah vape yang terbakar di dalam ruang kabin penumpang pesawat Malindo Air. Sejujurnya saya amat terkejut dan menyeramkan, apatah lagi penumpang yang bersama pada masa itu. Saya memang tak dapat nak bayangkan sekiranya suatu perkara yang lebih buruk berlaku. Minta dijauhkan segala malapetaka pesawat. 



Selama saya menaiki pesawat, lebih kurang tujuh lapan tahun yang lepas belum pernah mengalami berlaku kejadian sedemikian dimana penumpang merokok di dalam kabin atau di ruang tandas. Sekiranya ada berlaku ini memang suatu yang sangat tidak dapat diterima oleh semua dan pelakunya seharusnya didakwa dan dikenakan hukuman yang setimpal. Ini bukan soal tak tahu peraturan atau ini cuma perkara kecil yang remeh, ini soal nyawa manusia, soal hidup dan mati orang lain yang tidak berdosa. Buatlah pertimbangan dalam melakukan sesuatu, janganlah terlalu mementingkan diri sehingga sanggup menggadaikan nyawa dan hak untuk terus orang lain.

Pada trip penerbangan saya baru-baru ini, perkara yang lebih kurang sama juga berlaku. Penerbangan domestik. Seorang penumpang wanita yang duduk sebelah saya dengan selambanya dan tanpa menghiraukan peraturan mengaktif dan menggunakan smartphone-nya untuk menangkap gambar pemandangan di luar pesawat. Memang nak tegur, tapi entah kenapa tak tertegur-tegur. Tapi lain kali saya mesti tegur sesiapa saja yang berpotensi mendatangkan bahaya atau tak endahkan peraturan pesawat. Bahaya mengaktifkan handfon dalam pesawat ialah sekiranya frekuensi handfon yang digunakan oleh frekuensi pesawat dalam operasinya, ia boleh mengganggu sistem penerbangan. Contohnya, pesawat tak dapat mendarat. Ini amat merbahaya. Kalau tak silap beberapa tahun yang lepas sudah pun berlaku dalam kes sebegini,tak ingat pesawat mana. Tapi dilaporkan pesawat mengalami masalah nak mendarat. Apabila disiasat, mendapati isyarat sebuah handfon dalam pesawat menyamai frekuensi pesawat. Sangat membahayakan penumpang..betul tak?

Kalau nak komen memang banyak nak komen sini, tapi saya tak ada masa sekarang. Sambung lain kali okeh.

Kesimpulannya, patuhilah peraturan dalam pesawat dan ingatlah bahawa berpuluh malah beratus nyawa perlu diambil kira sebelum anda berniat hendak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan penerbangan.

Sekian dulu.

Salam hormat.

Khamis, 10 September 2015

Tiada Yang Mustahil Dalam Mencapai Cita-Cita

Assalam. 

Jom kita hayati tulisan ini..

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Salam Jumaat 4 Sept 2015



Tiada Yang Mustahil Dalam Mencapai Cita-Cita...



Cita-Cita...

Setiap orang pasti ada cita-citanya yang tersendiri...

Cita-cita awak dan saya mungkin sama dan mungkin juga berbeza...

Ada orang yang nasibnya baik, mudah sahaja dia mencapai cita-citanya...

Ada orang yang sebaliknya (tapi bukan malang), jadi dia kena berkerja lebih gigih untuk capai cita-citanya itu. Banyak rintangan dan halangan yang perlu dia hadapi sebelum beroleh apa yang dia hajati..



Maka bagi sesetengah orang mereka berkata "Maka beruntunglah orang yang lahirnya sudah kaya dan sudah punya gelaran jadi dengan mudah sahaja masa depannya pasti lebih mudah untuk bersinar..." Benarkah hidup ini sezalim itu? Tidak, Jawapannya tidak sama sekali. Hidup kita, kitalah yang corakkannya...Samada kita mahu ia diwarnai dengan warna yang kelam dan kusam atau diwarnai dengan warna yang cerah dan bersinar... Jadi jangan pernah salahkan takdir yang pernah tertulis untuk kita, bila kita tak dapat apa yang kita hajati andai sahaja kita sendiri pun tak pernah mensyukuri apa yang telah kita perolehi selama hidup di bumi.



Orang yang lahirnya sudah kaya dan punya gelaran pun belum tentu dia boleh punya masa depan yang cerah, andai saja dia itu tak pernah bersyukur dengan apa yang dia ada dan tamak haloba dengan harta dunia semata-mata dan malas berusaha serta tidak bercita-cita. Bayangkan saja seorang anak yang dilahirkan dalam keluarga hartawan yang punya banyak syarikat tapi malas dan enggan mencari ilmu, tak tahu bidang perniagaan, tak tahu selok belok perniagaan, malas juga bekerja dan segala kerjanya dan urusan perniagaannya diharapkan pada pekerja-pekerjanya dan dia itu mempunyai perangai yang sangat ego dan berlagak walhal dia itu "zero" dalam bidang perniagaan dan kerjayanya apakah akan jadi seterusnya? Pasti saja bukanlah sesuatu yang mustahil untuk anak yang mewarisi harta itu jatuh muflis dek kerana perangainya yang bodoh sombong dan malas berusaha itu. Harta walau setinggi gunung Everest pun, kalau tidak dijaga dengan betul dan asyik ditarah saja lama-lama semakin menyusut jugak.



Orang yang lahirnya miskin dan menderita tak semestinya dia tidak akan menjadi individu yang berjaya. Jika dia rajin berusaha dan mencari peluang serta rajin juga berdoa dan bersolat serta tidak mudah putus asa dalam mencapai cita-citanya, rajin pila menimba pelbagai ilmu yang bermanfaat maka satu hari nanti pasti dia akan menjadi insan yang berjaya. Percayalah kejayaan yang kamu perolehi hasil usaha sendiri selepas menempuh pelbagai cabaran hidup yang berliku itu lebih manis dan besar ertinya, berbanding jika kejayaan yang hanya ditumpang atas keringat dan usaha orang lain.



Setiap dari kita pasti punya kelebihan yang tersendiri. Jadi berbekalkan dengan kelebihan dan keistimewaan yang kita ada itu ditambah pula dengan minat sebagi dorongan, maka jadikanlah impian kita itu satu kenyataan. Gunakanlah kelebihan yang kita ada itu sebaik-baiknya. Misalnya kamu pandai  memasak dan minat memasak dan belajar memasak, maka ikutlah cita-cita kamu itu untuk mula membuat tempahan katering kecil-kecilan, kemudian apabila telah menapak hasil bolehlah kembangkan perniagaan itu pula. Contoh lain, jika kamu minat melukis dan punya bakat lukisan yang hebat. Apa kata kamu ketengahkan bakat kamu itu, dan mula menjual karya kamu selain dapat memanfaatkan hobi masa lapang, jadi juga hobi itu sebagai mata pencarian tambahan.


(Sejujurnya..saya memang amalkan ini.. Kenapa? Demi kelangsungan hidup dan demi cita-cita untuk berjaya dalam hidup, tanpa bekerja makan gaji juga boleh berjaya..



Jadinya, kita kena tahu kelebihan / keistimewaan diri kita terlebih dahulu, kemudian minat kita. Kemudian barulah pasang azam dan cita-cita. Kalau hendak berjaya kena ingat dan amalkan kata kunci ini :



CUDT ( C = Cita-cita, U = Usaha, D = Doa, T= Tawakal)



Dalam mencapai cita-cita juga tidak ada istilah mustahil dan tidak ada istilah terlambat. Jangan malu untuk berusaha atau menimba ilmu. Tidak ada istilah terlalu senja (terlalu tua) untuk mencari ilmu atau berjaya. Jadi, dalam hidup ini kita kena tahu apa yang kita inginkan dan apa matlamat hidup kita. Seterusnya usahakanlah dan rebutlah peluang yang terbentang luas dalam mencapai matlamat. Andai kita ini diejek kerana cita-cita kita dikatakan mustahil untuk dicapai, maka janganlah menangis atau putus harapan. Sebaliknya kamu harus buktikan kepada manusia-manusia yang mengejek kamu itu yang kamu jufga akan menjadi orang yang berjaya malah lebih berjaya dari mereka yang mengejek kamu itu. Setiap kali kita dikritik atau idea kita ditolak janganlah mudah "sentap", merajuk atau simpan dendam. Sebaliknya, jadikan kritikan dan penolakan itu sebagai satu titik tolak untuk kita mencari idea yang lebih baik dari itu dan berusaha lebih gigih lagi dalam mencapai apa yang kita inginkan.



Dan jangan pernah lupa yang kita sentiasa ada Allah swt, maka berdoalah apa sahaja yang dihajati. Jangan sombong untuk berdoa dan jangan pernah lupa Tuhan apabila sudah berjaya dan jangan sesekali salahkan Tuhan apabila kita tak dapat mencapai apa yang kita inginkan.. Kerana sesungguhnya Allah swt itu tidak pernah zalim terhadap kita, sebaliknya kita sendiri yang mezalimi diri kita sendiri.



Akhir kata, Semoga kita semua beroleh segala cita-cita yang kita hajati... (^__^)

Saya sendiri pun masih lagi mencuba dan terus mencuba untuk mencapai cita-cita..

Doakan saya juga berjaya ye..





Yang Ikhlas...



Nora Noordin Fridge Magnet

Aka Peminat Tegar thomas and Friends dan Fridge magnet Worldwide



Visit my pages..

https://m.facebook.com/AdderlynaFridgeMagnetWorldwideOnline

https://m.facebook.com/ThomasnFriendsMerchandise
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Penulis adalah seorang ahli perniagaan online yang cekal, berpengalaman serta dikenali ramai. Silalah lawat facebook page beliau seperti dalam links di atas untuk mengetahui lebih lanjut tentang perniagaan yang sedang diceburinya. Semoga apa yang dikongsikan diatas sama-samalah kita jadikan motivasi dalam meneruskan hidup dan juga dalam mencapai cita-cita @ matlamat. Sesungguhnya tiada yang mustahil didunia ini jika kita terus berusaha, doa dan bertawakkal kepada-Nya.

Wallahua'lam. Sekian.

Sabtu, 29 Ogos 2015

Salute! Bersih 4.0





Secara umumnya nak juga katakan bahawa program himpunan Bersih 4.0 ini amat berjaya dan berjalan dengan lancar serta aman. Seperti yang dilaporkan ratusan ribu telah turun ke jalan raya dan dataran di sekitar ibu kota Kuala Lumpur dengan pakaian keramat berwarna kuning. Apa yang agak menarik kali ini tiada kejadian provokasi melampau dan tindakan agresif daripada mana-mana pihak baik dari perserta Bersih maupun di pihak keselamatan. Dan seharusnya semua pihak menghargai segala usaha kerjasama yang telah dilakukan. Sememangnya pun program besar seperti ini yang kalau dulu ianya lebih dikenali dengan tunjuk perasaan atau demonstrasi jalanan dimana sesetangah pihak khususnya pihak pemerintah memandangnya secara negatif. Namun pada dasarnya ia hanyalah himpunan atau perarakan aman dalam usaha untuk menyampaikan mesej kepada pihak yang berkenaan setelah beberapa cara dan beberapa kali pihak berkenaan tidak mengendahkannya. Disamping itu juga, bagi menyampaikan mesej kepada dunia luar secara global melalaui liputan berita dan sekarang ini lebih mudah penyebaran dan perkongsian melalui media social. Jadi, syabas diucapkan kepada pihak penganjur, peserta yang terdiri dari orang awam dan rakyat seluruhnya juga tak lupa kepada pihak keselamatan yang mengawal dengan baik.


Walaupun ada juga kedengaran bahawa berkemungkinan darurat atau kerahan anggota tentera sekiranya keadaan tidak terkawal dari himpunan Bersih 4.0 kali ini, namun keperluan kearah itu sebenarnya memang tidak diperlukan buat masa ini dan mungkin tidak kena pada tempatnya. Namun begitu kita juga menghormati segala usaha yang dibuat oleh pihak keselamatan, yang mana kita faham semua itu demi kepentingan dan keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negara. Dan kita yakin segala peratauran dan arahan sememangnya sudah di patuhi dan diselia oleh penganjur Bersih itu sendiri. Lagipun, ini adalah Bersih siri yang keempat yang bermaksud pengalaman sebelum ini telah mematangkan semua pihak. Syabas sekali lagi.


Hendak juga disentuh disini bahawa, beberapa kejutan berlaku dalam Bersih 4.0 kali ini. Pertamanya, walaupun Pakatan Rakyat boleh dikatakan sudah retak dimana pihak Pas telah mengarahkan agar ahli-ahlinya tidak turut serta dalam himpunan Bersih 4.0 kali ini namun himpunan ini tetap juga dianggap berjaya dengan bilangan mereka yang menyertainya lebih kurang sama himpunan Bersih sebelumnya semasa ketiga-tiga komponen besar Pakatan iaitu PKR-PAS-DAP bergabung.  Keduanya, Ketua Menteri Sarawak telah secara rasmi membenarkan program himpunan Bersih 4.0 ini berjalan di bandaraya Kuching dengan syarat ia mestilah berlangsung secara aman. Walaupun kedengaran bahawa keputusan membenarkan himpunan itu adalah dalam usaha untuk mengambil hati rakyat Sarawak bersempena pilihanraya umum bagi DUN Sarawak yang kian mendatang. Apapun, perkara ini seharusnya semua pihak melihatnya secara positif bahawa tiada sesiapa yang boleh menafikan hak-hak rakyat dalam bersuara secara aman yang mana ia tiada melanggar mana-mana akta malah ia dilindungi seperti yang dilaporkan dan dalam masa yang sama pihak berwajib haruslah memberikan kerjasama yang baik seperti mengeluarkan permit berhimpun dan sebagainya, dan segala apa syarat pun yang rasanya pihak penganjur tiada masalah untuk dipatuhi. 


Kejutan seterusnya, saya fikir ini agak diluar jangkaan rakyat Malaysia. Dimana bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri telah hadir di perhimpunan Bersih 4.0 bersama rakyat di Dataran Merdeka petang tadi. Kalau kita lihat sejarah, beliau antara tokoh dan pemimpin yang kuat mengkritik dalam mana-mana program seperti tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan yang menuntut berbagai hak daripada pihak pemerintah. Namun apa yang berlaku hari ini, seolah-olah ia adalah mimpi khususnya bagi peserta himpunan Bersih 4.0 kali ini. Sekaligus, kehadiran Tun Dr Mahathir telah meningkatkan moral dan semangat rakyat khususnya yang ingin sangat melihat perubahan besar berlaku dalam negara kita sekarang. Perubahan besar yang dimaksudkan adalah, bersihkan barisan kempimpinan neagara, bersihkan system pentadbiran keselamatan dan juga kehakiman dalam negara. Bersihkan ekonomi dari rasuah yang semakin berleluasa. Bersihkan…bersihkan…bersihkan semuanya dari segala kekotoran hasil daripada tangan-tangan kotor yang sedang berkuasa dan mencengkam rakyat. Pulihkan dan hapuskan bebanan yang dipikul rakyat dalam meneruskan kehidupan seharian yang semakin tertekan dan mencabar. Kembalikan hak-hak rakyat, royalty minyak, menikmati harga petrol dan diesel yang murah dan berpatutan. Hapuskan GST! Aktifkan peranan pusat zakat seluruh negara bagi menolong golongan asnaf yang masih ramai tercicir dari senarai, dan lain-lain. 


Namun, perubahan besar yang paling utama pada kali ini adalah, tumbangkan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno. Cukuplah rakyat beri peluang sejak beberapa dekad, beberapa penggal itu pun disebabkan hasil daripada sistem pilihanraya yang kurang telus, yang telah menerima terlalu banyak pertikaian dan kesangsian yang melamapu secara terang lagi bersuluh. “Black 505”… ingatkah lagi?! Akan cuba disembangkan pada masa akan datang.


Ingin juga menyentuh berkaitan himpunan Bersih 4.0 kali ini. Walaupun secara keseluruhannya penganjuran Bersih 4.0 kali dilihat berjaya tanpa ada bentuk provokasi dan tindakan agresif melampau, kita juga sedikit sebanyak berasa kesal dengan tohmahan, kritikan dan komen yang tak membina sama sekali baik dalam berita maupun dalam laman media social. Kita mendapati terlalu banyak mereka yang keliru dan tersalah faham dalam membincangkan isu-isu politik yang kini sedang berlaku dalam negara. Sampai ke satu tahap yang agak menyedihkan, ia mengheret persoalan agama dan perkauman yang mana ini memang boleh mencetuskan suasana yang huru-hara. Ini mungkin disebabkan adanya perasaan  emosional dan ketaksuban yang keterlaluan oleh  seseorang individu terhadap sesebuah wadah atau perjuangan yang dibawanya yang akhirnya tidak dapat dikawal dan mencetuskan perbalahan sekaligus mengajak komentor-komentor lain membuat perkara yang sama. Dan jika beginilah cara kita menggunakan kemudahan media social maka, usahlah kita berangan-angan atau berlagak bijak dalam hendak membincangkan soal yang serius seperti isu politik sedangkan diri sendiri terperangkap dalam persoalan yang tiada jawapan malah mengusutkan semua pihak.       
  

Berkenaan dengan Bersih 4.0 ini juga, macam biasa pihak media perdana yang dikuasai pemerintah telah melaksanakan propagandanya. Kedengaran bahawa hanya dua puluh lima ribu sahaja yang hadir dalam program himpunan Bersih 4.0 kali ini yang mana mesej yang hendak disampaikan bahawa Bersih kali ini tiada mendapat sambutan oleh rakyat. Bagi kita, soal angka berapa ramai yang hadir itu bukan persoalan utama, tapi yang paling utama adalah mesej dalam bentuk tuntutan rakyat itu yang hendak disampaikan. Dan rakyat seluruhnya yakin, malah seluruh dunia tahu bahawa rakyat Malaysia mahu seorang pemimpin yang BERSIH dalam memandu rakyat dan negara ini menjadi aman damai serta kaya ekonomi, dan juga sebuah kerajaan yang  menghormati, mendengar dan bertindak diatas setiap luahan suara dan penderitaan RAKYAT



Wallahua’lam.

Antara foto-foto Bersih 4.0 yang di share dalam laman sosial dan teringin re-share-kan untuk semua.








 
Semoga Allah SWT beri kita kekuatan untuk amal dan sampaikan kepada saudara-saudara yang lain. InsyaAllah.